[VIDEO] Sukma: Johor sasar 55 pingat emas

Onn Hafiz bersama atlet pada majlis penyerahan bendera Kontinjen Sukma Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri pada Selasa.
Onn Hafiz bersama atlet pada majlis penyerahan bendera Kontinjen Sukma Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri pada Selasa.
A
A
A

KONTINJEN Johor menyasarkan 55 pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 yang bakal berlangsung di sekitar Lembah Klang pada 16 hingga 24 September ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran itu mampu berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan oleh atlet Johor untuk berdepan temasya dwitahunan itu.

"Meskipun Sukma Johor 2020 sebelum ini ditangguhkan dua kali akibat penularan Covid-19, namun ia tidak mematahkan semangat kerajaan negeri, kontinjen dan atlet-atlet untuk terus berjuang pada edisi Sukma kali ini.

"Saya lihat atlet kita sudah bersedia dan melakukan persediaan lebih awal. Justeru, kita meletakkan sasaran 50 hingga 55 pingat emas mampu diraih di atlet Johor pada Sukma ke-20," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap majlis penyerahan bendera Kontinjen Sukma Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Mohd Hairi Mad Shah.

Kontinjen Sukma Johor pada temasya Sukma kali ini terdiri daripada 526 atlet, 165 pegawai dan 90 urusetia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri dilantik sebagai Chief De Mission, manakala pemenang pingat emas acara angkat berat Sukan Komanwel Birmingham, Mohd Aniq Kasdan dipilih menjadi pembawa bendera Kontinjen Johor.

Artikel Berkaitan:

Bagi Sukma ke-20 ini, Kontinjen Sukma Johor akan bertanding dalam 426 acara membabitkan 31 sukan yang dipertandingkan.

Sementara sukan yang dijangka menjadi 'lubuk emas' bagi atlet Johor bagi mencapai sasaran kutipan emas adalah acara kanu, olahraga, berbasikal, akuatik dan menembak.

Pada edisi Sukma 2018 di Perak, kerajaan Johor menetapkan pemberian insentif sebanyak RM700 hingga RM3,000 bagi setiap pingat yang diperoleh mengikut kategori.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, perbincangan akan diadakan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menaikkan jumlah habuan untuk diberikan kepada atlet yang mengharumkan nama negeri dalam temasya Sukma kali ini.

"Saya akan berbincang dengan Tan Sri Dr Azmi berkenaan pemberian habuan yang lebih kepada atlet, namun insentif itu bukanlah motivasi semata-mata.

"Saya yakin kekuatan kita tidak datang dari kemampuan fizikal semata- mata, tetapi ia datang dari semangat yang tidak pernah mengalah," katanya.