Lelong kenderaan sita, JPJ Pahang kutip lebih RM700,000

Kenderaan yang dilelong pada program lelongan awam siri kedua di Dewan Serbaguna, Kompleks JPJ Pahang.
Kenderaan yang dilelong pada program lelongan awam siri kedua di Dewan Serbaguna, Kompleks JPJ Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak RM709,500 berjaya diperoleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang hasil lelongan 60 kenderaan sita dalam lelongan awam siri kedua tahun ini pada Selasa.

Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin berkata, lelongan kenderaan itu meliputi 34 kereta, sembilan kenderaan pelbagai guna (MPV) lapan motosikal dan selebihnya pelbagai jenis kenderaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 50 kenderaan boleh dilesenkan manakala 10 lagi kenderaan tidak boleh dilesenkan.

"Dalam lelongan itu, seramai 107 pembida yang terlibat dan kereta Mercedes SLM200 mencatatkan lelongan tertinggi iaitu RM42,000.

"Lelongan terendah bernilai RM50 bagi sebuah kenderaan jenis motosikal Moskito 125RX iaitu kenderaan yang tidak boleh dilesenkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya program lelongan awam siri kedua di Dewan Serbaguna, Kompleks JPJ Pahang.

Siri lelongan awam itu bermula seawal jam 8.30 pagi sehingga 2 petang.

Beliau menjelaskan kenderaan yang dilelong itu adalah kenderaan yang telah dilucutkan hak melalui perintah mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kamarul Iskandar menambah proses lelongan awam yang dilakukan adalah sangat telus dan memuaskan hati semua pihak termasuk pembida kerana mengikut tatacara seperti ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berterima kasih kepada semua yang hadir untuk lelongan awam kali ini termasuk pemerhati dan pembida," ujar beliau.