Didakwa cuba tipu, menyamar Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa atas pertuduhan cuba menipu dengan menyamar sebagai Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, dua tahun lepas.

Datuk Redzuan Zainuddin, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nadia Othman.

Redzuan didakwa cuba menipu pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank, Abd Samad Khalid, 58, dengan menyamar dan mempercayai bahawa tertuduh sebagai Setiausaha Sulit kepada (SUS) Tengku Mahkota Pahang/Pemangku Raja Pahang sehingga mendorong mangsa supaya melantik tertuduh sebagai Ahli Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara 1, Menara Kembar Bank Rakyat, Brickfields di sini pada 2.14 petang, 27 Mac 2020, mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Asisten Komisioner Nom Phot Prackdit menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh manakala peguam Ramalinggam yang mewakili Redzuan memohon jaminan paling minimum dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai lapan anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Oktober untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: