Cadang tambah alatan ICT di masjid, jabatan kerajaan

Mohammad Fakhruddin
Mohammad Fakhruddin
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang dicadang supaya menambah peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) terkini di jabatan kerajaan termasuk masjid dan surau di negeri ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, cadangan itu dibuat melalui portfolionya bagi belanjawan tahun 2023.

Beliau berpendapat, perkara itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan penting untuk dilaksanakan tahun hadapan terutamanya jabatan yang terlibat dengan kutipan hasil negeri seperti pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Hutan dan sebagainya.

"Cadangan dibuat termasuk menggantikan peralatan lama yang tidak lagi berkesan pada masa kini sehingga melambatkan pelbagai urusan rakyat dan kerja-kerja kakitangan di jabatan terlibat.

"Antaranya seperti komputer, mesin pencetak, sistem data protected, peralatan digital yang lain, skrin mesyuarat, kiosk bayaran online, internet dan berbagai bentuk lain lagi yang melibatkan ICT @ teknologi baharu.

"Penyambungan dalaman bangunan (IBC) sehingga mendatangkan masalah capaian internet atau komunikasi di kawasan tertutup seperti di dalam dewan atau bilik mesyuarat juga perlu diberi perhatian dengan ditambah peralatan terkini untuk mengatasi masalah ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.

Beliau menjelaskan, pejabat dan jabatan agama, sekolah-sekolah agama di bawah kerajaan negeri termasuk masjid serta surau juga perlu ditambah baik dengan peralatan ICT dan teknologi baharu.

"Saya mencadangkan agar masjid dan surau terutama di lokasi penduduk yang ramai boleh diberi peralatan ICT seperti skrin besar, projector, komputer, sistem bunyi, internet atau wifi dan sebagainya agar ceramah agama secara langsung dapat diadakan lebih kerap, lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Semua usaha ini penting agar jabatan atau unit-unit di bawah kerajaan Pahang lebih tersusun, kerja-kerja berjalan dengan lancar, percepatkan urusan rakyat dapat meningkatkan keupayaan serta imej kerajaan negeri, kakitangan juga lebih cekap ICT," ujar beliau.

Mohammad Fakhruddin yakin cadangan itu boleh dilaksanakan oleh kerajaan Pahang sekiranya sasaran kutipan lebih RM1 bilion dapat dicapai pada tahun ini.

"Dengan hasil yang amat memberangsangkan ini, sudah tentu lebih banyak lagi bantuan, sumbangan dan peruntukan pembangunan akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy akan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat negeri Pahang.

"Begitu juga jabatan-jabatan, unit-unit, pejabat pentadbiran di bawah kerajaan negeri Pahang juga turut diberi perhatian melalui Bajet 2023 ini," katanya.