Tulisan khat: Tiga individu gagal dapat kebenaran semakan kehakiman

Istana Kehakiman di Putrajaya.
Istana Kehakiman di Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA -Tiga individu pada Selasa gagal dalam rayuan untuk memperoleh kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan terdahulu memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk P Ravinthran, D Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan mereka.

Tiga individu itu ialah bekas Presiden Persatuan Pelajar Sekolah Cina, Tan Kim Sen @ Tan Boon Tak, Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, D Ravi dan R Visa Letchumy.

Nordin, yang menyampaikan keputusan mahkamah dalam prosiding dalam talian, berkata Mahkamah Tinggi betul dalam menolak permohonan kebenaran ketiga-tiga mereka untuk semakan kehakiman itu kerana ia difailkan di luar masa dan mereka juga tidak menunjukkan alasan yang kukuh untuk melanjutkan tempoh masa untuk memfailkan permohonan mereka.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi adalah wajar dan Mahkamah Rayuan tidak perlu mengganggu budi bicara hakim.

Hakim itu berkata, undang-undang memperuntukkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman perlu difailkan dalam tempoh 30 hari apabila keputusan yang ingin dicabar oleh pemohon pertama kali dimaklumkan kepadanya dan mahkamah boleh melanjutkan tempoh untuk memfailkan permohonan kebenaran jika terdapat alasan kukuh yang diberikan oleh pemohon.

Keputusan untuk melaksanakan pengajaran khat di sekolah adalah pada 14 Ogos 2019 dan perayu memfailkan kebenaran mereka untuk semakan kehakiman pada 20 Mei 2020, lewat sembilan bulan, katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi mendapati alasan yang dikemukakan oleh perayu bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Pergerakan Bersyarat telah dikuatkuasakan semasa pandemik Covid-19 masing-masing pada 18 Mac 2020 dan 4 Mei 2020, tidak boleh menjadi sebab kelewatan untuk memfailkan permohonan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Hakim itu berkata, rayuan yang dikemukakan Tan, Ravi dan Visa adalah tanpa merit dan mahkamah mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 April 2020 yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Beliau juga tidak memberi sebarang arahan mengenai kos kerana berkata kes itu adalah kes kepentingan awam.

Hakim itu juga berkata, apabila perayu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran, tiada keputusan wujud untuk melaksanakan pengajaran khat kerana bukti menunjukkan pelaksanaan tulisan khat digantikan dengan tulisan jawi berdasarkan keputusan kabinet.

Ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan itu pada Mei 2020, terhadap Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, mendakwa keputusan kerajaan sebelum ini untuk memperkenalkan tulisan khat kepada murid Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Peguam, T Gunaseelan dan Keshvinjeet Singh mewakili ketiga-tiga mereka manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman dan Peguam Persekutuan, Ng Wee Li mewakili Menteri Pendidikan dan kerajaan. - Bernama