Titik tengah Semenanjung beri nilai tambah kepada Temerloh

Alias(dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Wan Rosdy (tiga dari kanan) sempena majlis perasmian program tersebut di Dewan Tun Razak pada Selasa.
Alias(dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Wan Rosdy (tiga dari kanan) sempena majlis perasmian program tersebut di Dewan Tun Razak pada Selasa.
A
A
A
TEMERLOH - Kedudukan strategik Temerloh yang berada di titik tengah Semenanjung Malaysia memberikan nilai tambah buat daerah itu dalam menggerakkan pembangunan sekali gus memacu ekonomi dari pelbagai sektor.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daerah Temerloh yang bersempadan dengan Maran, Jerantut, Raub, Bentong dan Bera terletak di satu kedudukan yang sangat strategik, iaitu berada di tengah titik Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, pada 2009, kajian bagi menentukan titik tengah Semenanjung Malaysia telah dijalankan di bawah kendalian Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

"Bagi membuat analisis dan mendapatkan keputusan yang tepat, tiga kaedah pengukuran telah digunakan iaitu kaedah bentuk rupa bumi Semenanjung Malaysia, jisim Semenanjung Malaysia dan hitungan matematik.

"Hasil daripada kajian tersebut didapati lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia adalah terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh.



"Saya sangat berbesar hati dengan kedudukan strategik daerah Temerloh dan menyeru supaya semua pihak mengambil peluang untuk sama-sama membina potensi dan mencari peluang serta menjadikan kedudukan titik tengah ini sebagai satu nilai tambah kepada daerah Temerloh," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapan perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Temerloh 2035 (Penggantian) di Dewan Tun Razak di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Dr Alias Rameli.

Ujar Wan Rosdy, kerajaan negeri memberikan komitmen tinggi bagi penyediaan Rancangan Pemajuan di seluruh Pahang dengan menyalurkan peruntukan pembangunan setiap tahun khusus bagi menampung kos penyediaan Rancangan Pemajuan oleh PLANMalaysia Negeri Pahang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) khasnya bagi Rancangan Tempatan yang telah tamat tempoh perancangan.

"Pada tahun ini, kita sedang menyediakan dua lagi kajian RTD Penggantian iaitu bagi daerah Maran dan Bera.
Artikel Berkaitan:


"Penyediaan RTD Temerloh 2035 (Penggantian) telah memberi peluang kepada Majlis Perbandaran Temerloh untuk menggubal hala tuju pembangunan baharu bagi mencapai status Majlis Bandaraya menjelang tahun 2035.

"Beberapa kriteria penting berkaitan perkhidmatan perbandaran yang diperluas, kelangsungan pertumbuhan penduduk dan sasaran hasil pendapatan tahunan melebihi RM100 juta perlu dirancang mulai sekarang," kata beliau lagi.

Tambah beliau, Draf Rancangan Tempatan Daerah Temerloh 2035 (Penggantian) ini telah menggariskan 15 strategi di bawah tiga Flagship utama iaitu Lembah Pintar Temerloh, Aset Asli dan Tempatan Mampan dan Temerloh Teknologi Tinggi yang disokong dengan 83 cadangan pembangunan melibatkan lapan projek berimpak tinggi.

Ujar Wan Rosdy, antaranya pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Terminal Rel dan Kargo Temerloh Bersepadu

Pembangunan Daerah Temerloh perlu dimaksimumkan yang akan membuka peluang besar kepada Temerloh untuk dimanfaatkan sebagai pemangkin asas ekonomi wilayah dan tempatan.

"Pengukuhan Pelan Pengurusan Risiko Bencana Banjir dengan mengambil kira bencana banjir yang melanda

Temerloh saban tahun terutama yang melanda bandar Mentakab pada awal tahun ini.

"Saya sangat bersetuju cadangan pembangunan adalah memberi tumpuan kepada penyediaan mekanisma

pengurusan bencana yang merangkumi empat komponen utama iaitu pencegahan dan kawalan mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas bencana serta pemulihan bencana," tambah beliau.

Dalam pada itu, Alias memberitahu, PLANMalaysia telah mengeluarkan satu panduan Mengarus Perdana Risiko Bencana Dalam Penyediaan Rancangan Tempatan.

"Konsep pembangunan seperti sponge city bagi pengurusan risiko geobencana telah diambil kira dengan penyediaan Draf Rancangan Tempatan Daerah Temerloh 2035 (Penggantian).

"Oleh itu, empat aspek utama dalam kitaran pengurusan risiko bencana yang telah diambil kira di dalam cadangan draf ini meliputi aspek pencegahan, kesiapsiagaan tindak balas dan pemulihan," tambah beliau.

Sementara itu, orang ramai boleh menyemak, meneliti dan memberi maklum balas ke atas kandungan Laporan Draf RTD Temerloh 2035 (Penggantian) yang telah bermula pada 1 September sehingga 30 September depan mengikut keperluan Subseksyen 13(2), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).