190 kematian akibat lemas tahun ini

Sebanyak 190 nyawa menjadi korban melibatkan insiden lemas bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini. - Gambar hiasan (Foto 123RF)
Sebanyak 190 nyawa menjadi korban melibatkan insiden lemas bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini. - Gambar hiasan (Foto 123RF)
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 190 nyawa menjadi korban melibatkan insiden lemas bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah tersebut melibatkan 122 kematian di sungai atau tali air, pantai (30), tasik dan lombong (21), air terjun dan jeram (16) dan satu kes kematian lemas dalam pembetung.

"Saya percaya musim cuti sekolah ini akan dimanfaatkan para ibu bapa untuk membawa anak-anak dan keluarga bercuti, ini termasuklah berkelah di kawasan air terjun dan sungai mahupun mengunjungi pantai peranginan," tulisnya di Facebook pada Selasa.

Reezal berkata, ibu bapa dan penjaga perlu memastikan pergerakan anak-anak sentiasa dipantau sepanjang percutian tambahan lagi jika melibatkan aktiviti di dalam air.

"Patuhi arahan pihak berkuasa, pantau ahli keluarga terutama anak kecil, sentiasa kemas kini maklumat dan peka info cuaca," ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai harus mengelakkan diri dari bermandi-manda dan bermain di kawasan arus deras, ombak kuat dan paras air yang dalam.

"Sebagai orang dewasa, pastikan kita mempunyai asas kemahiran menyelamat bagi saat kecemasan," katanya.

Reezal berkata, penglibatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam memberi respon kes-kes kecemasan di air telah banyak menyelamatkan nyawa lain.

Artikel Berkaitan:

Benar, Wira Merah (JBPM) serta agensi penyelamat lain ada memantau malah sentiasa bersedia untuk menyelamat, namun adalah lebih baik sekiranya kita mengambil langkah berjaga-jaga sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Pastinya kita tidak mahu kegembiraan percutian berakhir dengan kedukaan, semoga dijauhkan.

"Saya doakan semoga ALLAH SWT melindungi kita semua, Insya-ALLAH. Selamat bercuti dan ciptalah momen indah bersama keluarga," katanya.

Statistik kematian akibat lemas tahun ini.
Statistik kematian akibat lemas tahun ini.