Kadar hibah TH dijangka lebih rendah bagi tahun akan datang

Tabung Haji. - Foto Malaysian Reserve
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan hibah Tabung Haji (TH) bagi tahun-tahun akan datang juga tidak akan tinggi.

Ini kerana, katanya, terdapat beberapa faktor penyumbang, antaranya keadaan TH kini yang memerlukan jaminan kerajaan bagi menampung kerugian sebanyak RM10 bilion pada 2018.

"Selain itu, syarikat tujuan khas (SPV) yang telah mengambil alih aset RM19.9 bilion dari TH dengan hanya membayar faedah sukuk sebanyak 2.5 peratus setiap tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Hibah TH: Kenapa hanya agih RM913 juta?

"Faktor ketiga adalah hala tuju TH untuk tidak lagi akan mementingkan pelaburan ekuiti tetapi akan melabur dalam bon dan simpanan tetap yang memberi faedah tetap yang rendah," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Najib berkata, beliau sebelum ini menjangkakan kadar hibah akan diumumkan adalah sebanyak 2.08 peratus kerana PH tidak mahu membayar hibah haji, namun sangkaannya ternyata meleset apabila kadarnya lebih rendah daripada itu.

Menurutnya, kerajaan perlu memberi jaminan nilai sebanyak RM17.3 bilion kepada SPV dan ia seperti dijangkakan sebelum ini kerana juruaudit tidak akan membenarkan penilaian syarikat itu tanpa jaminan kerajaan.

Sementara itu, Najib turut menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mendakwa defisit terkumpul TH berjumlah RM4.1 telah diseleweng bagi tempoh empat tahun lalu.

Menurut Najib, disebabkan situasi itulah BN mampu membayar dividen lebih tinggi untuk tahun-tahun tersebut.

"Wang RM4.1 bilion ini bukan dicuri, dirompak atau rugi. Apa yang aneh adalah tidak ada seorang juru audit untuk tempoh empat tahun ini didakwa atau dipersalahkan kerana telah tersalah membuat audit.

"Bagi isu TH, dianggarkan telah mengalami kerugian sekurang-kurangnya sebanyak RM10 bilion untuk 2018. BN tetap dipersalahkan walaupun puncanya akibat kejatuhan indeks Bursa Malaysia dan ekonomi yang merosot setelah PRU14 di bawah PH. Nilai aset Khazanah pun jatuh RM25 bilion pada 2018, sudah tentu TH juga turut terkesan," katanya.

Menurutnya, kadar hibah dan bonus TH paling rendah sebelum ini adalah pada 2001 iaitu 3.25 peratus, diikuti 2002 (3.5 peratus) dan 2003 (4.0 peratus).

"Bagi tempoh sembilan tahun di bawah kerajaan BN, purata hibah tahunan adalah sebanyak 6.75 peratus.

"Kadar 1.25 peratus untuk 2018 di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah paling rendah dalam sejarah TH," katanya.