Amanah yakin Agong pertahan prinsip adil

Hasanuddin Mohd Yunus
Hasanuddin Mohd Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Amanah Negara (Amanah) yakin selaku ketua negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mempertahankan prinsip adil dalam membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara.

Naib Presidennya, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pihaknya menyanjung tinggi titah Seri Paduka Baginda bahawa keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa.

“Kami yakin Tuanku akan mempertahankan prinsip ini dalam semua hal ketika membuat keputusan.

“Ia juga termasuk ketika mempertimbangkan rayuan pengampunan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijatuhkan hukuman bersalah menyeleweng wang RM42 juta milik SRC International oleh sembilan hakim iaitu seorang hakim Mahkamah Tinggi, tiga hakim Mahkamah Rayuan dan lima hakim Mahkamah Persekutuan.

“Ampun Tuanku, patik semua rakyat berdoa agar Tuanku dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan dalam segala urusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Seri Paduka Baginda ketika merasmikan kompleks Mahkamah Syariah Pahang di Kuantan, pada Isnin.

Dalam titahnya, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa jika undang-undang tidak dilaksanakan sewajarnya, maka ia akan mengundang kerosakan falsafah di sebalik penggubalannya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memfailkan petisyen pengampunan kepada Seri Paduka Baginda.

Artikel Berkaitan:

Petisyen tersebut dibuat mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan pada 2 September lalu.

Petisyen itu dibuat setelah pihak Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.