Diupah RM250 untuk ganggu peminjam ah long

Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan antara tin berisi cat dirampas susulan penahanan lima suspek di sini, Jumaat lalu.
Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan antara tin berisi cat dirampas susulan penahanan lima suspek di sini, Jumaat lalu.
A
A
A

KUANTA - Seorang wanita sarat hamil antara lima individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menyimbah cat, mengunci pagar dan menampal notis tuntutan hutang ke atas rumah peminjam ah long sekitar daerah ini sejak September tahun lalu.

Suspek berusia 29 hingga 49 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah ini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, wanita berusia 30 tahun dan seorang lelaki dipercayai teman lelaki ditahan ketika sedang mengunci pagar rumah seorang peminjam di Permatang Badak di sini.

Menurutnya, siasatan ke atas kedua suspek itu membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki sekitar daerah ini kerana dipercayai turut terlibat dalam kegiatan tersebut.

"Siasatan awal mendapati, suspek bekerja dengan ah long bernama 'Jimmy' menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen secara dalam talian.

"Usaha mengesan 'Jimmy' kini sedang dijalankan," katanya dalam sidang akhbar berkaitan kes tangkapan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Isnin.

Wan Mohd Zahari berkata, susulan penahanan suspek itu, pihaknya merampas bahan bukti termasuk sebuah kereta dan motosikal, tong cat, plastik berisi cat, bahan pelarut, rantai dan mangga dan buku senarai nama peminjam.

"Siasatan awal mendapati, 31 peminjam gagal menjelaskan hutang terkesan dengan perbuatan suspek apabila rumah mereka disimbah cat, dikunci pagar dan ditampal notis tuntutan hutang berbaur ugutan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga mendapati ada lagi senarai peminjam bakal menerima nasib sama namun suspek tidak sempat berbuat demikian kerana tertangkap," katanya.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu hasil satu laporan polis daripada seorang lelaki pada 11 September tahun lalu mendakwa diganggu, diugut ah long sebelum rumah disimbah cat dan dikunci pagar.

"Bertindak atas maklumat itu, pihak polis telah menjalankan siasatan sejak tahun lalu sebelum suspek terlibat berjaya ditahan.

"Berdasarkan pengakuan suspek memiliki rekod lampau berkait kes dadah dan jenayah, mereka diarah berbuat demikian dengan upah RM250 untuk menyimbah cat, kunci pagar RM150 dan RM60 untuk menampal notis tuntutan hutang," jelasnya.

Tambah beliau, suspek wanita dibebaskan dengan jaminan polis manakala empat suspek lelaki ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 29A, 29B Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang pernah menjadi mangsa diminta membuat laporan polis atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Kuantan, Asisten Superintendan William Fernandez di talian 013-9230722 untuk menyalurkan maklumat," ujarnya.