KPLB akan bincang dengan JPA naikkan gred pengurus PKD

Mahdzir (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada pengurus PKD yang hadir pada perjumpaan bersamanya pada Isnin.
Mahdzir (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada pengurus PKD yang hadir pada perjumpaan bersamanya pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan gred pengurus Pusat Komuniti Desa (PKD) sesuai dengan peranan dan pengalaman mereka.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini gred bagi jawatan berkenaan adalah N19 dengan kontrak selama setahun.

Katanya, kementerian juga mencadangkan agar pengurus PKD diberikan tempoh kontrak perkhidmatan yang lebih panjang.

"Gred mereka ini ialah N19 maknanya kelayakan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), mungkin boleh dinaikkan kepada gred yang lebih tinggi, jadi kita akan bincang dengan JPA.

"Kita juga nak buat kajian bersama JPA untuk lanjut kontrak pengurus PKD kerana selepas kontrak mereka tamat perlu membuat permohonan semula, sebab mereka sudah berpengalaman dan nak kerja semula," katanya ketika sidang media selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama pengurus PKD seluruh Malaysia di sini pada Isnin.

Menurutnya, kontrak perkhidmatan pengurus PKD mungkin boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun memandangkan kebanyakan mereka sudah berkhidmat lebih daripada lima tahun dan cukup berpengalaman.

"Selepas kontrak mereka tamat, mereka buat permohonan baharu dan mereka dinilai selepas itu, kalau markah baik sambung lagi.

"Tapi setiap kali kontrak nak habis mereka akan berfikir kena cari kerja baharu jadi kesian juga kepada mereka," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Mahdzir berkata, terdapat 180 pengurus PKD seluruh negara yang telah menjalankan sebanyak 4,402 program di PKD bertujuan membantu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Dalam pada itu, Mahdzir turut menzahirkan rasa gembira dengan kejayaan penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang berakhir pada Ahad kerana berjaya mencatatkan kehadiran pengunjung lebih 100,000.

"Saya sangat berpuas hati dengan penganjuran Jelajah AKM dan ucapan terima kepada semua agensi KPLB, terima kasih kepada kerajaan negeri, pegawai terlibat," ujarnya.