RAC setuju bina laluan berpagar di ICQS Padang Besar

Hamzah meninjau aspek keselamatan sempadan ketika mengadakan lawatan ke ICQS Padang Besar pada Isnin. - Foto Bernama
Hamzah meninjau aspek keselamatan sempadan ketika mengadakan lawatan ke ICQS Padang Besar pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PADANG BESAR - Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bersetuju untuk membina laluan pejalan kaki berpagar tanpa melintasi kawasan Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, bagi menjaga keselamatan dan kebajikan pengguna.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, laluan berpagar itu, dibina bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan warga asing yang masuk ke negara ini menerusi stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Bhd Padang Besar.

"Daripada data yang kita peroleh seramai 2,000 pengunjung terdiri dari warga asing menggunakan laluan pejalan kaki ini, manakala kira-kira 30,000 orang warga asing masuk melalui kompleks ICQS Padang Besar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Kompleks ICQS Padang Besar pada Isnin.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengurus Besar RAC, Adam Abu Hanipah dan Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil langkah awal menutup laluan tersebut (1 September 2020), bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Apa-apa boleh berlaku dengan pertambahan kemasukan warga asing yang mungkin mengakibatkan berlakunya pencerobohan dan kegiatan jenayah seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya.

Hamzah berkata laluan pejalan kaki berpagar itu akan dalam jangka masa tiga bulan. - Bernama

Artikel Berkaitan: