Isu LCS: PKR lapor SPRM terhadap Abd Latiff esok

Akmal Nasrullah (kiri), Abd Latiff (kanan)
Akmal Nasrullah (kiri), Abd Latiff (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam isu skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Pengerusi strategi parti itu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, laporan tersebut akan dibuat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa.

Ujar beliau, hal ini kerana, nama Ahli Parlimen Mersing itu dinyatakan terkait menerusi Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan juga Laporan Pengauditan Forensik baru-baru ini.

Jelasnya, laporan SPRM yang akan dibuat itu tertumpu kepada kesalahan-kesalahan rasuah berdasarkan Seksyen 16, Seksyen 17(a), Seksyen 17(b), Seksyen 18 serta Seksyen 23 di bawah Akta SPRM 2009 yang membolehkan pihak suruhanjaya itu menjalankan siasatan.

“Laporan SPRM esok juga akan mendesak supaya pihak SPRM mendedahkan pengiystiharan harta yang dibuat oleh Abd Latiff sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu menjelaskan laporan yang dibuat itu adalah sangat penting sebagai langkah melawan isu penyelewengan tersebut.

“Apa yang akan terjadi seterusnya jika kita tidak melawan penyelewengan #skandalLCS?.

Pemberi dan pendedah maklumat akan terus mendapat tekanan, yang buat jahat terlepas. Sebab itu kita semua kena terus desak pihak berkuasa untuk siasat pesalah yang sebenarnya.

Artikel Berkaitan:

“Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sendiri tawarkan kepada Menteri Perikatan Nasional (PN) tersebut untuk saman beliau namun sehingga kini masih mengelak. Adakah kes skandal LCS akan berlalu begitu sahaja tanpa ada jerung yang dapat ditangkap,” katanya.

Rafizi pada Sabtu lalu diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi memberi keterangan.

Ia susulan laporan polis yang dibuat Abd Latiff yang didakwa memfitnahnya berkaitan isu LCS tersebut.

Dalam masa yang sama, Akmal Nasrullah menambah, beliau akan memastikan kes tersebut disiasat sepenuhnya bagi membongkar hal sebenar yang berlaku di sebalik isu kapal LCS itu.

Beliau juga turut memaklumkan akan mengadakan satu sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat SPRM itu pada jam 11 pagi esok susulan selepas laporan tersebut dibuat.