Aksi Selangor menentang JDT dapat perhatian media antarabangsa

Portal bola sepak antarabangsa, BBC Sport memuat naik sebahagian rakaman perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC.
Portal bola sepak antarabangsa, BBC Sport memuat naik sebahagian rakaman perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC.
A
A
A

AKSI Liga Super antara Selangor FC (SFC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan sahaja mencuri tumpuan pelbagai pihak di tanah air, malah turut mendapat perhatian portal bola sepak antarabangsa, BBC Sport.

Bukan corak permainan ataupun gol bertaraf Puskas yang diperkatakan, sebaliknya keputusan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria yang memberikan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan itu yang dipersoalkan.

Dalam hantaran BBC Sports di laman Facebook mereka turut disertakan klip video pendek kekasaran pertahan Selangor, Yazan Al-Arab ke atas Arif Aiman dan portal bola sepak antarabangsa itu memberi cadangan bahawa Liga Super memerlukan video bantuan pengadil (VAR).

Setakat jam satu tengah hari hantaran tersebut telah disaksikan hampir 260,000 pengguna Facebook, selain mendapat lebih 1,000 komen dan tanda suka daripada netizen.

Menjengah di ruangan komen, terdapat reaksi berbeza dilontarkan pengguna Facebook dengan ada antaranya tidak bersetuju dengan keputusan dibuat pengadil perlawanan itu.

Menurut pengguna Facebook menggunakan nama Dave Brayden Isamat, menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan pengadil memberikan sepakan penalti.

“Ia sangat jelas bukan foul kerana pemain itu sengaja menjatuhkan diri dalam kotak penalti. Sepatutnya pemain itu yang patut dihukum dan bukannya pengadil memberikan sepakan penalti,” tulis Dave.

Selain itu, ada di antara mereka bersetuju dengan keputusan pengadil perlawanan memberi sepakan penalti kepada JDT.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimana anda katakan ia bukan penalti? Pemain memijak tumit kiri pemain lawan dengan kaki kanannya, ia berlaku dengan sangat jelas,”kata Linton Vickers.