Laksana prinsip keadilan tanpa pilih kasih: Agong

Al-Sultan Abdullah menyempurnakan Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang yang dimasyhur dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah di sini pada Isnin.
Al-Sultan Abdullah menyempurnakan Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang yang dimasyhur dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Tiada sebarang keistimewaan atau pengecuali kepada pihak yang melakukan kesalahan dalam melaksanakan keadilan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, ketegasan prinsip keadilan Islam juga tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa pun termasuk pihak yang tidak disenangi.

Titah Seri Paduka Baginda, undang-undang hanya memiliki satu bahasa; satu prinsip; satu hukuman dan satu aplikasi kepada sesiapa pun.

"Keadilan yang diamalkan tanpa memilih kasih berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah.

"Prinsip keadilan yang telus dan terbuka turut berjaya membangunkan masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera,"titahnya.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian dalam titah diraja sempena Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Kuantan yang dimasyhur dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah di sini pada Isnin.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong,Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah bertitah, mahkamah syariah juga perlu berfungsi untuk melaksanakan keadilan berasaskan bidang kuasa yang diberikan undang-undang dan perlembagaan selaras dengan hukum syarak.

"Berpandukan prinsip keadilan dalam Islam, mahkamah ini juga perlu bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutama yang melibatkan kes-kes kekeluargaan.

"Ia termasuk mengkaji hukuman berbentuk kerja sosial bagi kes-kes tertentu supaya tidak berlaku penindasan dan diselesaikan secara budi bicara.

"Ia kerana prinsip keadilan menurut Islam ialah menjunjung amanah tuhan dan bukannya mewakili kuasa tuhan,"titahnya.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kuasa menghukum dan memberikan pengampunan juga tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak.

"Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil pasti keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah disebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

"Jika perkara itu berlaku, pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak memiliki kuasa dan menjadi titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.

"Justeru, mahkamah syariah perlu mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes agar keadilan dapat dicapai," titah Seri Paduka Baginda.

Dalam titahnya itu, Al-Sultan Abdullah meminta Hakim Syarie memastikan kes-kes yang dikendalikan dihakimi seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera.

"Pada masa sama, pegawai mahkamah dan peguam syarie turut bertanggungjawab secara kolektif dalam menentukan prosiding mahkamah berjalan lancar,"ujarnya.

Titah Seri Paduka Baginda lagi, hakim syarie, pegawai mahkamah dan peguam syarie mempunyai tanggungjawab kepada pihak yang dibicarakan, tanggungjawab sosial kepada negara dalam mempertahankan integriti mahkamah dan melindungi kesucian Islam.

Sementara Al-Sultan Abdullah berkata, perasmian dan pemasyhuran bangunan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang menjadi simbolik dan mercu tanda ketinggian institusi mahkamah syariah di negara ini.

"Saya telah disembah maklum bahawa kompleks mahkamah ini telah siap sepenuhnya 23 September tahun lalu dengan kos RM44.75 juta.

"Ketika ini hampir semua negeri memiliki kompleks perundangan syariah yang lengkap dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," titahnya.

Menurut Seri Paduka Baginda, kompleks mahkamah syariah yang sempurna terbina itu mampu memainkan peranan besar dalam menyampai dan mengembangkan syiar Islam.

"Diharapkan lebih banyak lagi usaha dilaksanakan untuk meningkatkan institusi Mahkamah Syariah di negara ini," titahnya.

Tambah Seri Paduka Baginda lagi, sebarang usaha memperkasakan mahkamah syariah di negara ini sentiasa disokong tanpa berlaku diskriminasi kepada mana-mana pihak kerana prinsip utama undang-undang syariah adalah keadilan kepada semua.

Sementara itu dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah meminta pihak berkaitan meneliti kembali cadangan hukuman diyat supaya ia dapat dilaksanakan dalam sistem keadilan di negara ini.