Rusia balas dendam terhadap Eropah?

Gazprom telah menghentikan operasi saluran paip gas utama ke Eropah sejak Rabu lalu. - Foto Agensi
Gazprom telah menghentikan operasi saluran paip gas utama ke Eropah sejak Rabu lalu. - Foto Agensi
A
A
A

BRUSSELS - Eropah kini terjerumus ke dalam krisis tenaga setelah firma gergasi Gazprom di Rusia sekali lagi menghentikan operasi saluran paip gas utama ke blok berkenaan yang dikritik ahli politik rantau tersebut sebagai cubaan Moscow untuk menggunakan 'tenaga sebagai senjata'.

Gazprom memaklumkan saluran paip Nord Stream 1 di Laut Baltik yang menghubungkan Moscow ke utara Jerman yang dijadualkan kembali beroperasi pada Sabtu akan dihentikan sepenuhnya sehingga kerja membaik pulih selesai.

"Operasinya akan terus ditutup sehingga turbin dibaiki," jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat sambil menjelaskan hasil pemeriksaan ketika operasi penyelenggaraan telah menemui 'kebocoran minyak' dalam turbin.

Keputusan pada saat akhir itu dipercaya ada kaitan dengan keputusan diumumkan Kumpulan Tujuh (G7) untuk mengehadkan harga minyak Rusia setelah blok berkenaan berdepan 'sekatan' penghantaran gas selama tiga hari sejak Rabu lalu.

Pesuruhjaya Ekonomi Kesatuan Eropah (EU), Paolo Gentiloni berkata, mereka kini telah bersiap sedia jika Rusia menghentikan penghantaran gas serta-merta.

"Kami bersiap siaga untuk bertindak balas terhadap tindakan Moscow yang menggunakan sumber gas itu sebagai senjata untuk membalas dendam terhadap siri sekatan yang dikenakan oleh kami," ujarnya.

Ketika ini, pemimpin Eropah sedang berusaha untuk mencari sumber tenaga alternatif untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Rusia memandangkan harga gas melambung sehingga empat kali ganda berbanding setahun lalu.

Difahamkan, simpanan gas di EU adalah kira-kira 80 peratus untuk menampung keperluan di blok berkenaan yang dijangka meningkat terutamanya ketika ketibaan musim sejuk.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Berlin memberi jaminan bekalan gas mencukupi walaupun berdepan 'sekatan' Gazprom secara tiba-tiba.

"Situasi pasaran gas agak tegang, namun keselamatan bekalan adalah terjamin," kata jurucakap Kementerian Ekonomi Jerman sebagai usaha meredakan kebimbangan penduduk Eropah. - AFP