Pas perlu dapatkan sokongan bukan Islam

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

ALOR SETAR - Pas perlu mengambil pendekatan untuk mengecilkan pihak 'lawan' dengan memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini turut menyokong parti itu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini termasuk menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam untuk bergabung.

Menurutnya, itulah yang diajar dalam Islam dan menjadi tanggungjawab semua pihak bermula dari pimpinan tertinggi hingga ke akar umbi bagi memastikan sasaran itu tercapai.

"Jangan meramaikan musuh, jangan cari yang banyak berkelahi dengan kita, itu langkah yang sangat penting untuk mencapai kemenangan. Kita mesti mempunyai syarat-syarat sebenar istiqamah," katanya ketika ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah pada Ahad.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas juga berjaya menembusi benteng yang memisahkan parti itu dengan orang bukan Islam hasil daripada pendekatan tersebut.

"Akhir-akhir ini kita dapat menembusi masyarakat bukan Islam dan sebab itu ahli-ahli kita bertambah dan kita lebih maju.

"Kalau DAP boleh lantik ahli Parlimen daripada orang India di kawasan majoriti Cina. Mengapa kita tak boleh minta orang Cina sokong kita dalam pilihan raya. Mengapa mereka tak boleh pilih Melayu?" soal beliau.

Beliau berkata, kejayaan mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong dalam kalangan bukan Islam antara contoh kejayaan memecahkan tembok pemisah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ini kejayaan yang besar cuma peranan dewan himpunan ini mesti 'masuk' dalam masyarakat bukan Islam," ujarnya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, beberapa aspek lagi harus diperbaiki untuk menembusi benteng dengan menembusi tembok sedia ada bagi mencapai kejayaan lebih besar.

"Untuk menggerakkan mereka yang sedang 'tidur nyenyak', perlu dilakukan dengan penuh bijaksana dan berhemah.

"Seperti kita hendak gerak (kejutkan) orang tidur bersembahyang. Jangan ambil air terus jirus di kepala dia, bertumbuk jawabnya. Gosok dulu dengan beradab, nasihat dia itulah caranya," kata beliau.

Sementara itu, Abdul Hadi yakin dengan mematuhi perancangan yang diatur secara berjemaah dan kolektif, Pas akan dapat mencapai kejayaan dengan pertolongan Allah SWT.

"Pas juga perlu meneruskan politik matang kerana Islam mengajak manusia kepada pendamaian dan bukan peperangan," tegasnya.