Van Dijk patut dilayang kad merah: Lampard

Onana (dua dari kanan) terbaring selepas mendapat kecederaan hasil terjahan keras yang dilakukan Van Dijk.
Onana (dua dari kanan) terbaring selepas mendapat kecederaan hasil terjahan keras yang dilakukan Van Dijk.
A
A
A

PENGENDALI Everton, Frank Lampard mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan yang tidak melayangkan kad merah kepada pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, ketika seri tanpa jaringan di Goodison Park.

Menurut Lampard, kekasaran yang dilakukan tonggak pertahanan Belanda itu ke atas Amadou Onana dilihat agak keras sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada buku lali pemain tersebut.

“Jika anda melihat saat dia menerjah tulang kering Amadou dan kaki Amadou berada di atas tanah. Saya jadi terkejut kerana tidak dirujuk ke Video Bantuan Pengadil (VAR) dan pengadil tidak diminta untuk membuat pengesahan.

"Bagi saya, itu adalah kad merah bagaimanapun keputusan sebaliknya diberikan kepada pengadil. Pada pendapat saya, pengadil tidak mengesahkan kekasaran berkenaan melalui VAR,” katanya.

Bagaimanapun di sebalik kekecewaan itu, Lampard tetap memuji aksi yang ditampilkan pemain Everton terutama penjaga gol, Jordan Pickford, yang beraksi cemerlang untuk mematahkan lapan percubaan Liverpool.

“Jordan menyelamatkan beberapa percubaan dengan hujung jarinya, ia sukar buat seorang penjaga gol untuk menguis satu percubaan daripada Nunez di palang dan satu daripada Mo Salah di penghujung permainan.

"Begitu juga Alisson. Mereka adalah dua penjaga gol terbaik. Kami banyak bergantung kepada Jordan sejak saya berada di sini. Dia seorang penjaga gol yang luar biasa.

"Saya sangat bertuah kerana mempunyai pemain setarafnya untuk melakukan tugas seperti ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: