TFC berpeluang saing di kelompok tiga teratas Liga Super

Pemain Terengganu FC, Mohamad Faisal Abdul Halim (kiri) diasak pemain Melaka United FC Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu. - Foto Bernama
Pemain Terengganu FC, Mohamad Faisal Abdul Halim (kiri) diasak pemain Melaka United FC Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyifatkan kejayaan membenam Melaka United FC 5-0 malam tadi sebagai kemenangan paling berharga buat pasukannya.

Menurut Nafuzi susulan kemenangan itu, peluang skuad Penyu untuk bersaing di kelompok tiga teratas Liga Super kembali cerah selepas kini hanya dibezakan tiga mata dengan penghuni di tempat ketiga, Negeri Sembilan FC (NSFC) dan tujuh mata dengan Sabah FC yang berada di kedudukan kedua.

"Alhamdulilah tiga mata penting berjaya diraih untuk Terengganu kembali merapatkan kedudukan dengan dua pasukan di atas.

"Kemenangan ini bagus untuk menaikkan keyakinan pemain. Ini juga adalah kemenangan pertama saya ke atas Melaka United FC sejak menjadi jurulatih TFC pada 2019," katanya selepas perlawanan menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Justeru, beliau mengingatkan anak buahnya supaya terus konsisten dan mengekalkan rentak kemenangan bagi menghadapi lima perlawanan terakhir Liga Super.

Dalam pada itu, Nafuzi turut memaklumkan bahawa penjaga gol utamanya, Rahadiazli Rahalim yang pengsan dan dikejarkan ke hospital selepas insiden pelanggaran dengan pemain lawan Harith Naem Jaineh di dalam kotak penalti, telah kembali sedar.

Bagaimanapun, keadaan sebenar beliau masih belum dapat dipastikan dan perlu menunggu laporan daripada pasukan perubatan.

"Saya belum boleh beritahu lebih lanjut kerana perlu menunggu perkembangan daripada pasukan perubatan tetapi saya berharap supaya beliau (Rahadiazli) dapat pulih dan bermain di perlawanan akhir Piala FA Sabtu depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Asri Ninggal berkata, ketiadaan pemain import menjadi faktor utama kekalahan pasukannya di tangan TFC malam tadi.

Malah katanya, pemain yang tidak mempamer prestasi sebenar menyebabkan mereka dihukum dengan kekalahan besar.

"Moral pemain Terengganu ketika ini juga sangat tinggi kerana bakal beraksi di perlawanan akhir Piala FA. Saya ucapkan syabas kepada skuad Penyu dan terima kekalahan ini dengan hati terbuka," katanya. - Bernama