Melaka sedia ganjaran buat Aaron

Aaron (kanan) dan Wooi Yik muncul juara pada Kejohanan Dunia di Tokyo Ahad lalu.
Aaron (kanan) dan Wooi Yik muncul juara pada Kejohanan Dunia di Tokyo Ahad lalu.
A
A
A

IMBUHAN daripada kerajaan negeri Melaka menanti pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia berikutan kejayaan merangkul gelaran juara dunia di pentas Kejohanan Badminton Dunia edisi ke-27 di Tokyo baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri tidak pernah melupakan jasa anak kelahiran Melaka yang mengharumkan nama negeri dalam mana-mana pertandingan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Walaupun kerajaan pusat dah bagi (imbuhan), MSN (Majlis Sukan Negara) dah bagi tapi kerajaan negeri Melaka tetap beri imbuhan (kepada Aaron).

"Kita juga beri pingat pada tahun lepas kepada Aaron (atas kejayaannya sebelum ini)," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negeri Melaka kepada Kontinjen Negeri Melaka ke Sukan Malaysia (Sukma) XX di Auditorium Masjid Al-Azim di Melaka pada Sabtu.

Ahad lalu, Aaron dan gandingannya, Soh Wooi Yik mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama merangkul gelaran dunia sekali gus menamatkan penantian 45 tahun, apabila menewaskan pasangan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 pada final beregu lelaki di Tokyo.

Pada majlis berkenaan, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam dilantik sebagai Chef De Mission kontinjen Melaka bagi menyertai temasya sukan dwi tahunan itu pada 16 hingga 24 Sept.

Sebanyak 613 atlet, jurulatih dan pengurus pasukan akan mewakili Melaka pada temasya kali ini.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kontinjen Melaka menyasarkan 20 pingat emas pada kejohanan itu, peningkatan dua pingat emas berbanding edisi sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, antara sukan yang disasarkan mendapat emas adalah wushu, golf serta muay thai dan kerajaan negeri juga akan memberi ganjaran kepada atlet yang membawa pulang sebarang pingat. - Bernama