Pelaksanaan 5G dalam landasan betul: Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bergambar bersama wakil syarikat yang menyertai majlis Pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia DE Dagang di Plaza Shah Alam, pada Sabtu. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bergambar bersama wakil syarikat yang menyertai majlis Pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia DE Dagang di Plaza Shah Alam, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan 5G di Malaysia masih kekal dalam landasan betul walaupun dua daripada enam syarikat pengendali operasi mudah alih (MNO) menarik diri daripada melanggan saham Digital Nasional Bhd (DNB).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, rundingan dengan empat syarikat MNO akan diteruskan melibatkan pengubahsuaian kandungan dalam dokumen perjanjian yang perlu ditandatangani.

Menurutnya, penarikan diri dua MNO tersebut memberi kesan proses menandatangani dokumen yang mana kerajaan dan kabinet memutuskan majoriti syarikat telco perlu datang daripada agensi swasta sedangkan pegangan mereka tidak mencapai 50 peratus.

"Boleh teruskan dan saya telah berunding dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz bagi mengatasi isu tersebut supaya kita kekal dengan keputusan kabinet, yang mana DNB tidak boleh majoriti atau keseluruhannya milik kerajaan, tapi nak berikan majoriti itu kepada swasta.

"Tiba-tiba empat daripada enam MNO setuju (langgan DNB), namun tidak cukup (pegangan) majoriti lebih kurang 48 peratus.

"Jadi, dokumen-dokumen berkaitan yang hendak ditandatangani itu perlu diubahsuai dan ia memerlukan masa 'sebulan dua' untuk perbetulkan bahagian itu,' katanya selepas melancarkan Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @ De Dagang (JMKM @ De Dagang) di Plaza Shah Alam, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) meletakkan keutamaan untuk memenuhi tempoh masa tiga tahun supaya negara mempunyai 80 peratus capaian 5G menjelang 2024.

Katanya, syarikat-syarikat berkaitan perlu mula melaksanakan inisiatif tersebut bermula bulan ini supaya mereka boleh menawarkan perkhidmatan 5G di kawasan yang mempunyai prasarana bagi capaian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"K-KOMM sebagai pembuat dasar dan pengawal selia, mengekalkan rancangan sedia ada dan perlu dilaksanakan seboleh-bolehnya bulan ini walaupun ada kemungkinan rundingan berlarutan hingga akhir September.

"Saya tidak mahu tangguh, walaupun hanya disebabkan oleh satu atau dua syarikat mengubah pendirian, rancangan kerajaan melaksanakan 5G tergendala," katanya.

Pada Sabtu, dua pengendali rangkaian operasi mudah alih (MNO) membuat keputusan untuk tidak melanggan saham Digital Nasional Bhd (DNB).

Bagaimanapun, ia tidak memberi impak besar kepada kerajaan dari segi kewangan kerana terdapat beberapa bank tempatan dan bank asing yang bersedia untuk membiayai pelaksanaan 5G di Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, ia turut mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap pelan pembangunan 5G di negara ini.