Kerjasama UMNO: Pas NS masih taruh harapan

Rafiei Mustapha
Rafiei Mustapha
A
A
A

SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan masih menaruh harapan tinggi agar dapat terus bekerjasama dengan UMNO di Negeri Sembilan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, ini kerana tiada formula lain untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan melainkan kerjasama yang dapat dibentuk antara Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.

Memang perkara ini agak sukar kerana kita tahu bagaimana penerimaan UMNO terhadap Bersatu.

"Tapi kita terus berharap kerana ini saja cara yang ada untuk menjatuhkan PH. Lagipun matlamat kita semua sama," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut beliau, hubungan baik antara Pas dengan UMNO Negeri Sembilan juga masih berterusan termasuk dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Oleh sebab itu katanya, jika UMNO negeri ini menyatakan kesediaan untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi PRU15, ia akan terus disambut baik.

"Kita doalah, mudah-mudahan UMNO dibukakan hati kerana tujuannya baik dan sebab itu kita tak pernah menutup pintu kepada UMNO dan masih berusaha," katanya.

Sementara itu ditanya berkenaan soal pembahagian kerusi, beliau berkata, ia hanya akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Pas pusat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Pas negeri hanya memberi maklumat berkenaan soal kerusi dan calon yang dirasakan berpotensi.

Berkenaan soal lambang atau logo yang akan digunakan pada PRU15, Rafiei berkata, isu itu tidak timbul di Negeri Sembilan dan tidak pernah dibincangkan.

"Soal penggunaan lambang ini, kita serah pada jawatankuasa Pas pusat dan apa saja keputusan kita memilih untuk akur.

"Saya tahu macam di Kelantan dan beberapa negeri lain, mereka ada sebab tersendiri untuk guna lambang Pas, tapi di Negeri Sembilan tiada apa-apa isu," katanya.