UMNO negeri diharap teruskan petisyen pengampunan Najib

Ahmad (tengah) pada acara pelepasan konvoi bermotosikal Merdeka Belia Kampung Puteri Menangis pada Sabtu.
Ahmad (tengah) pada acara pelepasan konvoi bermotosikal Merdeka Belia Kampung Puteri Menangis pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN- UMNO berharap petisyen bagi mendapatkan pengampunan Yang di- Pertuan Agong terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang digerakkan UMNO Perak akan diikuti negeri-negeri lain.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, petisyen yang akan digerakkan UMNO di peringkat negeri itu merupakan salah satu cara untuk bersuara, namun hak pengampunan merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan rakyat perlu menghormati perkara tersebut.

"Sila teruskan perkara (petisyen) itu, diharap UMNO negeri-negeri boleh teruskannya. Sebenarnya hak pengampunan ini, hak Yang di-Pertuan Agong ia bukan hak rakyat.

"Rakyat boleh bersuara tetapi akhirnya ia adalah hak Yang di-Pertuan Agong. Sebagaimana semalam (Jumaat), Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Najib Razak yang meluluskan pembinaan masjid baharu di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka.

"Baginda boleh sahaja tidak menyebut nama bekas Perdana Menteri itu tetapi memilih untuk menyebutnya dan perkara itu menjadi tular," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelepasan konvoi bermotosikal Merdeka Belia Kampung Puteri Menangis pada Sabtu.

Pada Ahad lalu, UMNO Perak dilapor akan memulakan kutipan petisyen bagi mendapatkan keampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Badan Perhubungan UMNO Negeri telah diminta mengeluarkan pekeliling supaya dapat dianjurkan kutipan tanda tangan beramai-ramai dalam kalangan ahli.

Artikel Berkaitan:

Selain itu BNComms Selangor turut membuat petisyen Solidariti Pengampunan Diraja Untuk Najib Razak di platform change.org yang dilaporkan mendapat lebih 18,000 tandatangan setakat jam 5 petang Isnin, lalu.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.