[VIDEO] 32 mangsa nyaris dihanyutkan kepala air

Saat genting ketika mangsa menyelamatkan diri daripada dibawa arus deras dalam kejadian di Lata Payung, Ulu Kasar di Setiu pada petang Jumaat. - Foto Ihsan pembaca
Saat genting ketika mangsa menyelamatkan diri daripada dibawa arus deras dalam kejadian di Lata Payung, Ulu Kasar di Setiu pada petang Jumaat. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

SETIU - Seramai 32 mangsa termasuk 13 kanak-kanak yang mengunjungi lokasi perkelahan di Lata Payung, Ulu Kasar di sini berdepan detik cemas apabila nyaris dihanyutkan kepala air dalam kejadian yang berlaku pada petang Jumaat.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang itu turut menyebabkan enam kenderaan ditenggelami air dengan dua daripadanya iaitu Perodua Aruz dan Proton Savvy hanyut dibawa arus deras.

Bagaimanapun, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Razli Rapiae berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu.

"Seramai 17 anggota daripada BBP Setiu dan BBP Kuala Nerus bersama dua jentera, sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat kira-kira jam 5.30 petang.

Pengunjung melihat kenderaan yang dihanyutkan kepala air dalam kejadian di Lata Payung, Ulu Kasar di Setiu pada petang Jumaat. - Foto Ihsan pembaca
Pengunjung melihat kenderaan yang dihanyutkan kepala air dalam kejadian di Lata Payung, Ulu Kasar di Setiu pada petang Jumaat. - Foto Ihsan pembaca

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita mendapati terdapat empat kenderaan ditenggelami air iaitu Perodua Alza, Proton Wira, Perodua Axia dan Perodua Myvi, manakala dua lagi kenderaan iaitu Perodua Aruz dan Proton Savvy dihanyutkan arus deras," katanya dalam kenyataan di sini tengah malam Jumaat.

Menurut Mohd Razli, kesemua mangsa yang terselamat terdiri daripada tujuh lelaki dan 12 perempuan dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

"Kesemua mangsa dihantar ke Masjid Merbau Menyusut oleh pasukan bomba dan orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini operasi masih dijalankan," katanya.

Difahamkan, enam kenderaan yang dibadai kepala air itu diparkir di tebing sungai di kawasan perkelahan berkenaan.