'Jangan kacau kerja Ela'

Elavarasan (kanan) ketika bersama Pan-gon (kiri) membimbing skuad Harimau Malaya.
Elavarasan (kanan) ketika bersama Pan-gon (kiri) membimbing skuad Harimau Malaya.
A
A
A

PENGENDALI baharu skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, E Elavarasan harus diberikan masa dan ruang secukupnya bagi membentuk falsafah bola sepak yang dikehendakinya.

Namun, Elavarasan tidak harus lari daripada falsafah permainan yang sama seperti diterapkan oleh pengendali skuad senior Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Perkara tersebut disuarakan bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Hassan yang turut berharap Elavarasan mampu meneruskan DNA bola sepak Malaysia yang dibawa oleh Pan-gon.

“Kalau kita tengok dari segi kesinambungan ini, Pan-gon memerlukan seorang jurulatih yang beliau percaya sebab tidak mahu wujud pula conflict of interest dalam pemilihan pemain.

“Lagi pun, Ela (Elavarasan) sudah bersama-sama Pan-gon untuk beberapa bulan dalam pasukan senior sebelum ini dan Pan-gon tahu type atau bagaimana beliau bekerja.

“Jadi, Pan-gon memerlukan seseorang yang boleh dipercayainya bagi ‘membekalkan’ pemain-pemain muda terbaik dan berkualiti untuk diserapkan ke dalam pasukan senior,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Khamis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Elavarasan bagi menggantikan Brad Maloney yang dilepaskan dengan persetujuan bersama.

Elavarasan akan dibantu Juan Torres Garrido selaku penolong jurulatih, Kris Yong (jurulatih penjaga gol), Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lee Jeyoon (jurulatih analisis prestasi).

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita lihat pemain peringkat umur B-23 atau B-20, sebenarnya jika di Eropah, sudah ramai yang beraksi dengan pasukan senior masing-masing.

“Di sini kita lihat Pan-gon perlu satu kesinambungan antara pemain muda (B-23) ini untuk ‘naik pangkat’ beraksi bersama skuad senior Harimau Malaya.

“Di situlah Ela (Elavarasan) akan memainkan peranannya. Saya sudah lama kenal dengannya, beliau cukup gigih dengan tugasnya, jadi jangan kacau kerja beliau,” ujar Wan Jamak.