Melaka bertuah dipilih tuan rumah Hari Malaysia

Hee Sem (dua dari kanan) mengibarkan Jalur Gemilang selepas melancarkan program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri sempena sambutan Hari Kebangsaan bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' di Dataran Sejarah dekat Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

MELAKA - Melaka merasa rasa bangga dan bertuah apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat negeri di Dataran Sejarah, Ayer Keroh di sini hari ini beliau berkata, ini merupakan julung kalinya sambutan Hari Malaysia diraikan di luar Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, ikatan perpaduan adalah kunci kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang dinikmati selama ini, dan hasil keteguhan ikatan perpaduan rakyat pelbagai kaum itu, kehidupan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak kira-kira dua tahun lepas, kini hampir kembali normal.

"Teruslah beri kerjasama supaya kita dapat menjalani kehidupan secara normal sepenuhnya, sama seperti sebelum pandemik," katanya menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Setiausaha Kerajaan negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari. - Bernama