Bung Moktar, Zizie Izette tiba di Mahkamah Kuala Lumpur

Bung Moktar dan Zizie Izette tiba Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur jam 2.20 petang bagi mendengar keputusan sama ada dibebas atau dipanggil bela diri daripada pertuduhan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Bung Moktar dan Zizie Izette tiba Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur jam 2.20 petang bagi mendengar keputusan sama ada dibebas atau dipanggil bela diri daripada pertuduhan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan sama ada dibebas atau dipanggil bela diri daripada pertuduhan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Pasangan suami isteri itu tiba pada jam 2.20 petang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) warna hitam.

Pasangan itu melambai kepada wakil media yang menunggu untuk membuat liputan kes berkenaan sejak jam 2 petang.

Hakim Rozina Ayob bakal menetapkan keputusan pada jam 3 petang ini selepas mendengar hujahan lisan daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan pada prosiding pada 24 Jun lalu.

Perbicaraan kes bermula 2 Januari 2020 lalu dengan 30 saksi dipanggil antaranya bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra, Dr Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad, iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.

Pada 17 Mei lalu, kes itu ditutup selepas saksi terakhir yang juga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsharil Saharom, 37, selesai memberikan keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria dan Maziah Mohaide manakala Bung Moktar dan Zizie Izette diwakili peguam, M Athimulan serta Datuk K Kumaraendran.

Mengikut pertuduhan pindaan, Bung Moktar, 63, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Artikel Berkaitan:

Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015 serta 12.16 tengah hari, 19 Jun 2015.