RM1 bilion bantu operasi bas berhenti-henti

Ka Siong (kanan) menandatangani plak pada bas MRD di Kota Bharu pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
Ka Siong (kanan) menandatangani plak pada bas MRD di Kota Bharu pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi membantu pengoperasian perkhidmatan bas berhenti - henti di seluruh negara sejak tahun 2012.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, peruntukan disalurkan melalui Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF) bagi langkah membantu usaha menyediakan pengangkutan awam terbaik kepada rakyat terutama golongan kurang mampu.

“Ada rakyat yang tidak mampu membeli kenderaan, motosikal atau pun apa-apa kenaikan, memang mereka amat memerlukan perkhidmatan seperti bas.

“Dari segi tahap keselesaan, dulu pengangkutan awam panas dan tidak selesa tetapi percayalah kali ini kita berada pada satu anjakan dalam penambahbaikan perkhidmatan yang mengikut kesesuaian dengan kehendak penumpang.

“Antaranya, bas mini yang dilengkapi dengan 30 tempat duduk penumpang, kelengkapan pendingin hawa, sistem tiket dan alat pengesan pergerakan bas yang lebih berteknologi tinggi serta canggih,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mutiara Rentas Desa (MRD) Perkhidmatan Bas Berhenti-henti di Kelantan di H-Elite Design Hotel, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail.

Ka Siong (empat dari kanan) mengibarkan bendera Kelantan sebagai simbolik pelepasan MRD di Kelantan. - Foto Sinar Harian
Ka Siong (empat dari kanan) mengibarkan bendera Kelantan sebagai simbolik pelepasan MRD di Kelantan. - Foto Sinar Harian

Turut diadakan Majlis Menandatangani Kontrak Servis Penyelenggaraan bersama Hino Motors Sales Malaysia Sdn Bhd (HINO) dan E-Mutiara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebahagian proses menerusi dana yang sama, kerajaan prihatin dengan menyalurkan RM4.1 juta setahun kepada syarikat bumiputera tempatan, Konsortium E-Mutiara Berhad yang dilihat berupaya menggerakkan semula perkhidmatan bas berhenti-henti di negeri ini.

“Perkhidmatan bas berhenti-henti MRD ini sudah bermula sejak satu Februari tahun ini. Sehingga 27 Ogos lalu, perkhidmatan digunakan lebih 60,000 penumpang dan dengan kadar purata kenaikan jumlah penumpang sebanyak 51 peratus setiap bulan.

“Keseluruhan 27 bas mini MRD yang akan beroperasi di 13 laluan di Kelantan meliputi jarak sehingga ke daerah Gua Musang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengakui norma baharu oleh ibu bapa yang memilih untuk menghantar sendiri anak-anak ke sekolah menyumbang kepada pertambahan kenderaan di jalan raya.

“Pertambahan kenderaan di jalan raya adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan terutama sekarang ibu bapa kurang menggunakan perkhidmatan bas sekolah.

“Kerajaan bagaimanapun akan tetap berusaha meningkatkan mutu pengangkutan awam dari masa ke masa di seluruh negara,” katanya.