Jepun mudahkan prosedur kuarantin Covid-19 di lapangan terbang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TOKYO - Jepun pada Khamis memaklumkan bahawa ia akan merombak sistem kuarantin Covid-19 di lapangan terbang bagi memudahkan mereka yang tiba dari luar negara melengkapkan prosedur yang diperlukan dengan menggunakan telefon pintar atau peranti lain.

Kerajaan menetapkan agar sistem yang diubah suai itu dapat digunakan pada pertengahan September, lapor Jiji Press.

Pada ketika ini, mereka yang tiba dari luar negara diminta melengkapkan maklumat sijil vaksinasi Covid-19 dan lain-lain menerusi pautan laman sesawang atau aplikasi MySOS terlebih dahulu.

Sistem baharu yang diubah suai itu akan membolehkan penumpang mendaftar semua maklumat yang diperlukan untuk menjalani prosedur kuarantin lapangan terbang secara lebih cepat.

Mereka yang telah mendaftar hanya perlu menunjukkan kod QR di lapangan terbang.

Jepun juga akan melonggarkan langkah kawalan sempadan Covid-19, dan mengecualikan ketibaan mereka yang lengkap tiga dos vaksin selain menyerahkan keputusan negatif ujian Covid-19.

Di samping itu, negara akan menaikkan had kemasukan ke negara ini kepada 50,000 berbanding 20,000 ketika ini dan membenarkan kemasukan pelancong luar negara menerusi pakej pelancongan tanpa konduktor.

Kerajaan berharap dapat meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke Jepun dengan memudahkan prosedur kuarantin di lapangan terbang.

Artikel Berkaitan:

Jepun "akan memudahkan lagi (langkah kawalan sempadan) untuk merealisasikan kemasukan yang lancar setanding dengan Kumpulan Tujuh (G7) yang lain," kata Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno pada sidang media Khamis. - Bernama