UMNO Gerik hanya kemuka calon anak tempatan

AZNEL
AZNEL
A
A
A

PENGKALAN HULU - UMNO Bahagian Gerik hanya mengemukakan calon dalam kalangan anak tempatan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim berkata, pihaknya telah menyenaraikan seramai 15 nama dan dihantar kepada UMNO negeri untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi mewakili tiga kerusi iaitu Parlimen Gerik, DUN Temengor dan DUN Pengkalan Hulu.

Menurutnya, pemilihan kesemua calon tersebut telah dipersetujui sebulat suara menerusi Mesyuarat UMNO Bahagian Gerik dengan setiap kerusi mempunyai lima calon untuk dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

"Keputusan ini adalah keputusan penduduk-penduduk di dalam Parlimen Gerik termasuk jentera-jentera yang terlibat di dalam Parlimen Gerik untuk PRU15... memohon jasa baik pucuk pimpinan untuk menerima cadangan UMNO Bahagian Gerik.

"Nama-nama calon yang telah kita hantar kepada UMNO Perak untuk dipertimbangkan semua adalah anak tempatan di Parlimen Gerik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan UMNO Pengkalan Hulu, di sini pada Jumaat.

Aznel berkata, nama-nama yang disenaraikan terdiri daripada pimpinan UMNO Bahagian Gerik termasuk sayap-sayap parti.

Menurutnya, bukan sahaja pimpinan sedia ada, nama bekas Ketua Pemuda Bahagian dan bekas Ketua Wanita Bahagian turut disenaraikan sebagai calon.

Jelasnya, keputusan menyenaraikan nama-nama calon itu juga dipersetujui sebulat suara oleh ahli jawatankuasa dalam Mesyuarat UMNO Bahagian.

Artikel Berkaitan:

"Bila kita sebut soal calon, kita membuat keputusan secara terbuka di dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Gerik yang lalu. Walaupun kita ada mesyuarat Biro Politik, nama-nama yang dicadangkan Biro Politik kita bawa dalam Mesyuarat UMNO Bahagian dan kita minta tambahan atau cadangan lain daripada UMNO Bahagian.

"Jadi kita ada 15 nama yang dihantar ke UMNO Negeri untuk dipertimbangkan sebagai calon PRU15. Dalam mesyuarat tersebut, kita juga buat keputusan, sebarang nama yang akan diputuskan pucuk pimpinan walaupun bukan daripada nama yang UMNO Bahagian Gerik hantar tetapi mewakili atau ahli atau kepimpinan yang ada di dalam Parlimen Gerik, kita akan beri sokongan," katanya.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Gerik dimenangi BN menerusi Datuk Hasbullah Osman, begitu juga kerusi DUN Temengor dan DUN Pengkalan Hulu.