Keputusan kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izzette hari ini

Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izzette.
Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izzette.
A
A
A

DUA minggu ini cukup mendebarkan apabila orang ramai dapat mengetahui kes-kes berprofil tinggi membabitkan pemimpin UMNO.

Ia bermula daripada keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Ogos lalu yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

10 hari kemudian atau pada 1 September, isterinya pula iaitu Datin Seri Rosmah Mansor dijatuhi hukuman penjara setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kemudian pada hari ini atau 2 September, keputusan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dilepaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan rasuah RM2.8 juta akan diketahui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pertuduhan adalah membabitkan suapan bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan disampaikan oleh Hakim Rozina Ayob selepas mahkamah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada 24 Jun lalu.

Mahkamah akan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan serta penghujahan kedua-dua pihak sebelum memutuskan keputusan.

Jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie, Bung Moktar selaku tertuduh pertama, manakala Zizie Izette tertuduh kedua akan diperintah untuk membela diri.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jika pendakwaan gagal menimbulkan prima facie, pasangan suami isteri itu akan dilepaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Prosiding kes ini bermula pada 2 Januari 2020 dengan pendakwaan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.