Pearly Tan tarik diri Terbuka Jepun

Pearly tidak dapat menahan sebak selepas terpaksa mengakhiri perjuangannya setakat pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2022.
Pearly tidak dapat menahan sebak selepas terpaksa mengakhiri perjuangannya setakat pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2022.
A
A
A

KECEDERAAN lutut kiri yang dialami pemain beregu wanita negara, memaksa Pearly Tan mengakhiri perjuangannya bersama M Thinaah setakat pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2022 pada Khamis.

Walaupun berjaya mengatasi lawan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim, 21-13 pada set pertama, juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tewas 19-21 pada set kedua.

Selepas ketinggalan 11-16 dalam set penentuan, Pearly mengambil keputusan menarik diri dan dalam tangisan meninggalkan gelanggang di Arena Maruzen Intec, Osaka menggunakan kerusi roda sementara wakil Korea Selatan itu mara ke suku akhir kejohanan.

Sementara itu, hanya tiga wakil Malaysia melepasi pusingan kedua di Terbuka Jepun 2022.

Beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mara ke suku akhir selepas menumpaskan beregu Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov, 21-13, 21-13 dalam masa 33 minit.

Yew Sin-Ee Yi akan berhadapan Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dalam suku akhir selepas beregu Korea Selatan itu mengalahkan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 21-15, 21-13.

Dua lagi wakil Malaysia, terdiri daripada beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei juga layak ke suku akhir.

Kecederaan lutut kiri memaksa Pearly mengambil keputusan menarik diri.
Kecederaan lutut kiri memaksa Pearly mengambil keputusan menarik diri.

Artikel Berkaitan:

Kian Meng-Pei Jing yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan mengatasi pasangan Taiwan Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang, 14-21, 21-11, 21-15.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia BWF 2022, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping menanti Kian Meng-Pei Jing dalam pusingan seterusnya selepas pasangan China itu menundukkan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia, 21-13, 21-18.

Tugas berat menanti Pang Ron-Ee Wei kerana mereka akan menentukan slot ke separuh akhir dengan menentang jaguh dunia semasa, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China esok.

Pang Ron-Ee Wei menewaskan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek, 29-30, 21-18, 21-11 sementara Si Wei-Ya Qiong menundukkan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran, 21-7, 21-11. - Bernama


Lain-lain keputusan:

(Nota: Malaysia melainkan dinyatakan)

Beregu Wanita:

Chen Qing Chen-Jia Yi Fan (CHN) mn Vivian Hoo-Lim Chiew Sen 21-16, 21-14

Beregu Campuran:

Yuta Watanabe-Arisa Higashino (JPN) mn Goh Soon Huat-Shevo Lai Jemie 21-13, 21-8