Antony lengkapkan perpindahan ke Manchester United

Antony
Antony
A
A
A

GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United secara rasmi melengkapkan proses menandatangani pemain sayap, Antony dari kelab Eredivisie Belanda, Ajax Amsterdam.

Menurut The Red Devils, pemain dari Brazil berusia 22 tahun itu yang berpindah dengan yuran awal 80.75 juta pound (RM419.61 juta) mengikat kontrak lima tahun dengan pilihan tambahan setahun.

Untuk rekod, Antony sebelum ini pernah beraksi di bawah kendalian pengurus United, Erik ten Hag yang mengendali juara liga Belanda tersebut sebelum ini.

Sementara itu, Antony berkata, “Ini saat paling hebat dalam karier saya apabila menyertai antara kelab ikonik di dunia,” kata Antony dalam laman web kelab tersebut pada Khamis.

Sepanjang menyarung jersi Ajax, Antony menjaringkan 12 gol dan menghasilkan 10 bantuan gol dalam 33 perlawanan semua kejuaraan.

Antony bersama kelab Amsterdam itu merangkul kejuaraan Eredivisie tiga kali berturut-turut selain mara ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara musim lalu.

Manchester United yang kini menduduki tangga ke-12 liga dengan mengumpul enam mata hasil dua kemenangan, dua kekalahan, akan berdepan Leicester City di Stadium King Power, awal pagi ini.

Artikel Berkaitan: