[VIDEO] Pasukan pembelaan kemuka notis rayuan dalam masa terdekat

Jagjit Singh ketika sidang akhbar di lobi Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
Jagjit Singh ketika sidang akhbar di lobi Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan akan mengemukakan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor dipenjara 10 tahun bagi setiap tiga tuduhan yang berjalan serentak dan denda RM970 juta.

Peguam Datuk Jagjit Singh berkata, rayuan akan dibuat dalam masa terdekat dan mengikut masa ditetapkan mahkamah.

“Ya, saya akan mengemukakan notis rayuan. Kita buat rayuan ikut masa diberi (mahkamah), mungkin esok. Kita ada 10 hari untuk merayu terhadap semua kes itu.

“Rosmah dibebaskan dengan jaminan ditetapkan oleh mahkamah. Syukur kepada Tuhan, Rosmah boleh pulang ke rumah malam ini untuk bersama keluarga,” katanya pada sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.

Jika beliau gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Berhubung dengan kegagalan pembelaan memohon supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes itu, Jagjit berkata, pihaknya mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap perkara berkenaan mengikut Seksyen 3 Akta Kehakiman.

“Hari ini kita memohon supaya hakim menarik diri dan biar hakim lain dengar kes itu. Namun, permohonan itu tidak dibenarkan dan hakim terus menjatuhkan hukuman terhadap Rosmah.

Artikel Berkaitan:

“Saya kena kembali baca buku undang-undang, adakah ia mengikut prosedur yang betul,” katanya.

Rosmah sebelum ini gagal dalam permohonan supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar dan memberikan keputusan dalam kes rasuah yang dihadapinya membabitkan projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak.

Ketika menolak permohonan untuk menggugurkan dirinya daripada kes berkenaan, Mohamed Zaini berkata, draf penghakiman itu adalah pendapat daripada bahagian penyelidikan.

Mohamed Zaini berkata, dua dokumen yang kononnya draf penghakiman kes solar dihadapi Rosmah itu tidak disediakan untuknya atau diminta olehnya untuk disediakan.