KASA diminta percepat kerja-kerja atasi gangguan bekalan air

Onn Hafiz menyampaikan bantuan kasih bangsa Johor kepada para nelayan dalam bahagian Kota Tinggi pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Terbuka, Kampung Singapura, pada Khamis. - Foto Bernama
Onn Hafiz menyampaikan bantuan kasih bangsa Johor kepada para nelayan dalam bahagian Kota Tinggi pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Terbuka, Kampung Singapura, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan Johor meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mempercepatkan kerja-kerja penyambungan saluran bekalan sumber air mentah dari Sungai Sedili Besar ke Loji Rawatan Air Kampung Gembut, dalam usaha mengatasi isu gangguan bekalan air di daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara isu yang sering dihadapi penduduk di daerah itu ialah ketiadaan air akibat tekanan air rendah daripada loji rawatan air.

Untuk tujuan itu, beliau berkata, KASA telah memperuntukkan RM40 juta bagi menaik taraf loji berkenaan dan kerja-kerja akan dimulakan sejurus siap laporan kajian perunding.

"Isu besar di kawasan Kota Tinggi adalah isu air. Setiap kali hari raya, seminggu orang tidak dapat mandi. Itu yang saya difahamkan. Alhamdulillah, apabila berbincang (dengan) Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) dan Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ), insya-Allah ada penyelesaian jangka pendek dan panjang," katanya.

Onn Hafiz berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Kota Tinggi di Dewan Terbuka Komuniti Ehsan, Kampung Singapura, Tanjung Sedili, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.8 juta untuk pembangunan gerai di kawasan Teluk Mahkota atau dikenali sebagai Jason Bay.

Selain itu, katanya, RM2.9 juta juga diperuntukkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membangunkan gerai di kawasan Tanjung Sedili.

Turut menerima bantuan di majlis itu ialah 199 nelayan di daerah itu melibatkan peruntukan hampir RM60,000, selain peruntukan RM150,000 untuk pusat pengumpulan hasil pertanian di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Onn Hafiz berkata, menerusi pelbagai peruntukan yang diumumkan itu, ia sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus membantu rakyat di daerah ini. - Bernama