PM tinjau lokasi tragedi banjir puing di Baling

Ismail Sabri berbincang sesuatu bersama Mohd Shahadan ketika meninjau lokasi banjir puing dan jambatan Bailey di Kampung Iboi, Mukim Kupang pada Khamis. - Foto Bernama
Ismail Sabri berbincang sesuatu bersama Mohd Shahadan ketika meninjau lokasi banjir puing dan jambatan Bailey di Kampung Iboi, Mukim Kupang pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

BALING - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis meluangkan masa meninjau lokasi banjir puing di Kampung Iboi, Mukim Kupang di sini.

Turut hadir dalam tinjauan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebaik tiba pada jam 12.30 tengah hari, Perdana Menteri meninjau jambatan Bailey yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Tentera Malaysia sepanjang 27.43 meter selepas titi yang menghubungkan Kampung Iboi dengan Kampung Masjid Iboi runtuh dalam tragedi itu.

Ismail Sabri kemudian mendengar taklimat Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah mengenai insiden banjir puing yang berlaku pada 4 Julai lepas.

Beliau juga sempat beramah mesra dengan penduduk kampung daripada pelbagai lapisan umur yang nyata teruja apabila Perdana Menteri sanggup meluangkan masa bersembang dan berswafoto bersama mereka.

Banjir puing yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam pada 4 Julai itu menjejaskan Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang di sini.

Insiden itu menyebabkan 15 keluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah selain turut mengorbankan tiga sekeluarga. - Bernama

Artikel Berkaitan: