Mahkamah tolak permohonan Rosmah singkir hakim

Rosmah hadir bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. - Foto Bernama
Rosmah hadir bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes rasuah berkaitan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mohamed Zaini memutuskan demikian selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak atas alasan permohonan Rosmah tidak bermerit selain menyifatkan permohonan itu adalah akademik.

Mahkamah sebelum ini menetapkan Khamis untuk keputusan kes namun ia bermula dengan hujahan permohonan pembelaan untuk menyingkirkan hakim itu.

Dalam prosiding ini, Rosmah diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Azrul Zulkifli Stork manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Mohd Izhar dan Poh Yih Tinn.

Rosmah, 71, memohon untuk menyingkirkan Mohamed Zaini pada Selasa, dengan alasan dua dokumen draf keputusan penghakiman kes rasuah yang dihadapinya, tular pada 26 Ogos lalu dan mendakwa ia disediakan oleh pihak lain, bukannya hakim itu.

Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan notis usul berkenaan, menerusi Tetuan Akberdin & Co dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden.

Turut hadir dalam prosiding ini ialah dua anak Rosmah, Nooryana Najwa dan Norashman.

Artikel Berkaitan: