Haaland legenda dalam pembikinan

Haaland
Haaland
A
A
A

PENYERANG sensasi Manchester City, Erling Haaland mempunyai potensi memahat nama dalam sejarah sepanjang zaman The Citizens selepas meledak hatrik ketika membelasah Nottingham Forest 6-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad.

Malah pengendali Manchester City, Pep Guardiola percaya bekas pemain kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund itu mampu lebih menyerlah bersama City selepas ini biarpun mengambil masa menyesuaikan diri dengan gaya permainan liga Inggeris.

"Sejujurnya, Haaland juga masih jauh untuk mengejar gelaran penjaring terbanyak City, Sergio Aguero, namun dia masih dalam proses mempertajamkan bahagian serangan pasukan supaya lebih digeruni lawan.

"Haaland mempunyai kualiti untuk berada di puncak sama seperti Sergio. Sergio sebelum ini telah melakukannya dengan sangat menakjubkan, dan Haaland juga memiliki elemen tersebut.

"Ketika Manchester City membeli Haaland, semua orang bertanya apa yang dilakukannya sebelum ini. Namun, sejujurnya apa yang kelab ini mahu lakukan ialah membantunya menyerlah potensi diri dan menikmati permainan pada tahap kompetitif terbaik," katanya.

Untuk rekod, Haaland meledak hatrik pada minit ke-12', 23', dan 38' manakala tiga lagi gol dijaringkan Julián Álvarez (65', 87') dan João Cancelo (50') untuk kemenangan keempat dari lima perlawanan sekali gus mata ke-13 liga.

Hatrik Haaland itu menyaksikan dia menjadi pemain pertama dalam era Liga Perdana yang menjaringkan sembilan gol dalam lima perlawanan pertamanya, dilihat bersedia untuk mencabar rekod gol tertinggi Alan Shearer iaitu 34 gol dalam satu musim.

Pada masa sama, Guardiola mengakui pada peringkat awal ini hanya kecederaan akan menghalang Haaland daripada meraih Anugerah Kasut Emas Liga Perdana, namun menegaskan bahawa memenangi gelaran liga bersama Manchester City lebih bermakna.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya apa yang kita mahukan ialah memenangi kejuaraan itu lebih penting.

“Jika rekod dan gol membantu untuk menang, ia akan menjadi sempurna. Mengenali Haaland sedikit sebanyak, saya tidak tahu sama ada dia akan gembira memecahkan rekod jika kami tidak memenangi gelaran.

“Saya rasa dia mahu menjadi sebahagian daripada itu. Lebih baik kami bermain, dia akan mempunyai lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.