Pas tidak pernah lupa RUU 355

Ahmad Fadhli berucap di Muktamar Tahunan Pemuda Pas Malaysia kali ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di sebuah hotel di sini pada Khamis. - Foto Facebook Pemuda Pas Malaysia
Ahmad Fadhli berucap di Muktamar Tahunan Pemuda Pas Malaysia kali ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di sebuah hotel di sini pada Khamis. - Foto Facebook Pemuda Pas Malaysia
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Pas sama sekali tidak pernah lupa tentang Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas dalam kerajaan mempergiat usaha menyediakan draf RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Ahmad Fadhli memberitahu, pelbagai sudut telah dilihat khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU 355 lebih komprehensif, seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa tersebut.

“Kita juga dalam usaha untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Sivil.

“Aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah meliputi pelbagai aspek yang penting seperti meningkatkan tahap kompetensi hakim syarie, pendakwa syarie dan pegawai penguat kuasa agama," katanya ketika Ucaptama Ketua Pemuda Pas di Muktamar Tahunan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-63 bertema ‘Pemuda Generasi Sejahtera’ di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ia juga termasuk penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada dan penyeragaman serta penyelarasan undang-undang syariah.

Menurut beliau, antara langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf Mahkamah Syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa ialah dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022.

Ahmad Fadhli menegaskan, Pas bukan sekadar beretorik tentang Islam.

Artikel Berkaitan:

"Apabila diamanahkan dengan kepimpinan, keindahan dan kesyumulan Islam akan diterjemahkan dalam pemerintahan dan urusan negara. Inilah komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh Pas.

“Alhamdulillah kesannya, rakyat semakin yakin dengan kemampuan Pas dalam tadbir urus serta kepimpinan berkualiti yang ditonjolkan oleh kepimpinan Pas dan ahlinya,” katanya.

Tambah beliau, kewibawaan, kemampuan urus tadbir cemerlang dan integriti tinggi ditunjukkan di negeri-negeri ditadbir serta di kementerian-kementerian diamanahkan memberikan suatu ‘vibe’ sangat positif kepada rakyat Malaysia.

“Kita telah membuktikan walau hanya separuh penggal Pas dalam kerajaan, pencapaian urus tadbir yang ditunjukkan adalah ‘commendable’ dan membanggakan. Alhamdulillah. Pas mampu memimpin!” katanya.