Rosmah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

Rosmah Mansor tiba di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur sekitar jam 8.55 pagi.
Rosmah Mansor tiba di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur sekitar jam 8.55 pagi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah yang berpakaian baju kurung dan selendang warna kuning tiba pada jam 8.55 pagi menaiki kereta berwarna hitam.

Beliau kelihatan tenang ketika diiringi masuk ke lobi mahkamah akan mengetahui sama ada beliau akan dibebaskan atau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Bagaimanapun, Rosmah telah memfailkan permohonan di saat-saat akhir supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan ke atas kes itu berikutan dakwaan berlaku kebocoran dokumen penghakiman kes beliau yang disediakan pihak lain dan ditularkan di media massa dan elektronik, 26 Ogos lepas.

Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara Peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pihak pembelaan.

Artikel Berkaitan: