Jho Low didakwa berada di Disneyland, Shanghai

Jho Low didakwa dilihat berada di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas 2019.
Jho Low didakwa dilihat berada di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa dilihat berada di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas 2019.

Memetik laporan Malaysiakini, ‘petunjuk baharu’ lelaki yang kini dalam buruan berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ditemui berdasarkan rakaman wajah yang dikatakan miripnya.

Wartawan Tom Wright dan Bradley Hope yang telah melancarkan kempen untuk membongkar lebih lanjut mengenai Jho Low membuat dakwaan itu selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan pada 23 Ogos lalu.

Menurut klip video wartawan berkenaan di YouTube yang dikemas kini pada Rabu, kedua-duanya mendakwa telah menerima banyak maklumat yang menunjukkan bahawa Jho Low berada di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Bagi saya, gambar ini merakamkan banyak perkara tentang Jho Low. Ia hampir mengecewakan. (Kita) memburu individu ini yang dianggap sebagai dalang pengubahan wang haram, penipuan atau apa sahaja.

"Anda mungkin fikir dia akan bersembunyi seperti James Bond di suatu tempat tetapi sebenarnya dia hanya berkeliaran di sekitar pusat beli-belah, duduk di Shanghai Disneyland dan dia sentiasa mempunyai banyak telefon. Dia memainkannya seperti piano," kata Hope.

Meskipun lelaki dalam gambar itu kelihatan sangat mirip dengan Jho Low, namun Malaysiakini tidak boleh mengesahkan dakwaan Wright dan Hope.

Kedua-dua wartawan itu mendakwa bahawa Jho Low mungkin ditahan di China kerana berisiko membocorkan maklumat memalukan tentang penglibatan China dalam projek pada era Najib di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa beliau pulang.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan Najib.

Najib, berdepan empat pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB dan salah guna kuasa untuk meminda laporan audit syarikat pelaburan itu.