Pencapaian hubungan Malaysia-China di luar jangkaan: Duta

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A
BEIJING - Duta Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin menyifatkan perkembangan hubungan Malaysia-China sebagai di luar jangkaan.

Raja Nushirwan berkata, beliau malah diplomat lain juga mungkin tidak menjangkakan bahawa hubungan kedua-dua negara yang sudah terjalin sejak 30 tahun lalu mampu terus berkembang sehingga ke hari ini.

"Contohnya, perdagangan bilateral mencatat AS$176.8 bilion pada tahun 2021, sekali gus menjadikan Malaysia rakan dagang kesembilan terbesar bagi China.

"Mereka (para diplomat veteran lain) juga, saya rasa, akan terkejut sekiranya mengetahui bahawa pada 2019 terdapat 3.1 juta rakyat China yang datang ke Malaysia sebagai pelancong selain jumlah pelaburan yang dicatatkan pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Duta itu turut optimis hubungan kedua-dua negara akan terus kukuh pada masa depan.

"Pertama, Malaysia dan China merupakan negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menggabungkan ASEAN dan lima negara lain menjadi pasaran bersama yang paling besar di dunia.

"Kedua, kita akan melihat kepada peningkatan atau penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), dan ia juga akan mengukuhkan hubungan antara Malaysia, China dan ASEAN,” tambah beliau.

Beliau berkata, jika dilihat dari segi politik, Malaysia dan China telah menjalinkan perkongsian strategik komprehensif pada 2013, dan ini ialah pencapaian yang amat signifikan.
Artikel Berkaitan:


"Jadi dengan pulihnya pergerakan aliran pelancong China ke Malaysia dan sebaliknya, saya optimis hubungan Malaysia-China akan menjadi lebih kukuh pada beberapa tahun akan datang,” katanya. - Bernama