Peruntukan RM10 juta Jelajah Jualan Ehsan Rakyat Selangor

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kanan) melakukan simbolik Pelancaran Jelajah Jualan Ehsan Rakyat pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, malam Selasa. - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kanan) melakukan simbolik Pelancaran Jelajah Jualan Ehsan Rakyat pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, malam Selasa. - Foto Bernama
A
A
A
SHAH ALAM - Sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi Jelajah Jualan Ehsan Rakyat Selangor yang dilancarkan tengah malam Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hashim berkata, jelajah yang merupakan kesinambungan daripada Program Intervensi Harga Makanan Ehsan itu akan berlangsung selama tiga bulan di kesemua sembilan daerah negeri itu bermula 6 September ini.

Izham berkata, jelajah berkenaan antara usaha kerajaan mendepani masalah kenaikan harga barang khususnya barangan makanan keperluan asas yang dijual jauh lebih murah dari harga pasaran.

"Antara barangan utama yang akan dijual ialah ayam bulat 1.8 hingga 2 kilogram (kg), beras 5kg dan telur ayam gred B 30 biji dijual dengan harga RM10 sahaja dengan kami mengehadkan pembelian dua unit untuk satu item.



"Sebanyak sembilan trak akan digunakan bagi menjelajah ke semua daerah di seluruh Selangor yang akan kami umum menerusi media sosial rasmi kami selepas ini,” katanya selepas pelancaran program itu.

Terdahulu Jelajah Jualan Ehsan Rakyat Selangor dilancarkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri itu di Dataran Shah Alam, malam Selasa.
Artikel Berkaitan:


Pada pelancaran jelajah itu, kesemua barangan iaitu ayam, telur gred B, ikan kembung, beras dan daging import dijual pada harga istimewa iaitu RM5 seunit kecuali minyak masak 5kg pada harga RM10 sebotol.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata projek penanaman jagung bijirin kerajaan negeri bertujuan mengurangkan kebergantungan bekalan makanan ayam import di Kuala Langat kini dalam proses pembersihan kawasan. - Bernama