Kelantan rekod empat kes pemilikan senjata api

Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menyanyikan lagu patriotik semasa Sambutan Ambang Merdeka ke-65 Tahun 2022
di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu pada Selasa.
Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menyanyikan lagu patriotik semasa Sambutan Ambang Merdeka ke-65 Tahun 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan merekodkan empat kes jenayah berkaitan pemilikan senjata api dengan empat pucuk pistol dirampas dalam tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.

Jumlah kes tersebut berkurang berbanding enam kes dengan tujuh rampasan senjata api dalam tempoh sama tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, setakat ini, dua daripada kes senjata api pada tahun 2022 itu sudah selesai manakala dua lagi masih dalam siasatan.

“Kes senjata api yang masih dalam siasatan termasuk kejadian seorang ibu tunggal tiga anak yang hamil maut ditembak di Kampung Teresek, Repek, Pasir Mas, Jun lalu.

“Perkembangan kes ini agak positif untuk kami selesaikan cuma memerlukan lebih masa,” katanya ketika ditemui semasa Sambutan Ambang Merdeka ke-65 Tahun 2022 Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, pada Selasa.

Beliau dalam pada itu mengakui motif pemilikan atau kemasukan senjata api yang diseludup dari negara jiran itu kebiasaannya digunakan penjenayah untuk menunjukkan kuasa.

“Tidak dapat dinafikan pemilikan senjata api ada kaitan dengan pembabitan seseorang dalam jenayah dan dadah.

“Kes-kes menggunakan senjata api juga melibatkan jenayah ugutan dan pemerasan. Di Kelantan, ada kumpulan-kumpulan kecil ini yang memerlukan senjata api untuk menunjukkan kekuasaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas dari aspek penguatkuasaan, Muhamad Zaki berkata, pihaknya berganding bahu dengan semua agensi berkaitan bagi memperketatkan lagi kawalan di kawasan sempadan negara bagi menggelak pembolosan penyeludupan senjata api.

“Pihak tentera, Imigresen dan Kastam bersetuju menjalankan penguatkuasaan dengan bertukar-tukar maklumat dan risikan jabatan masing-masing untuk memperkemaskan kawalan sempadan.

“Keadaan semasa kes penyeludupan senjata api adalah terkawal namun semua kemungkinan peluang dan ruang-ruang seludup yang ada, akan tutup agar kegiatan penyeludup menjadi lebih sukar,” katanya.

Untuk rekod, empat senjata api yang dirampas pada tahun ini adalah dua pistol jenis semi auto dan dua revolver manakala tahun lepas, dua pistol semi auto, satu revolver, tiga senapang dan satu senapang angin.