‘Rafizi berniat jahat kaitkan UMNO dengan nama Abd Latiff’

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM – Pemuda UMNO menyifatkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berniat jahat apabila mengaitkan UMNO dengan pendedahan nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang didakwa sebagai jerung dalam isu kapal tempur pesisir (LCS).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Abd Latiff sebalikya adalah pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Dan antara yang disucikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didokong oleh parti Rafizi juga iaitu PKR, setelah melompat keluar daripada UMNO.

“Terdesaknya Rafizi ini boleh kita lihat bila dia cuba mengaitkan nama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam isu ini, hanya kerana Presiden UMNO adalah Menteri Pertahanan ketika Dr Abd Latiff menjadi timbalannya,” dakwanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Rafizi dalam pendedahan terbaharunya mendakwa, dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek LCS dimiliki oleh isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.

Beliau berkata, kewujudan kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (offshore) menggunakan nama Alizes Marine tetapi didaftarkan di dua negara berbeza itu terbongkar melalui siasatan dalaman LCS dan semakan lanjut yang dilakukannya.

Menurut Rafizi, laporan turut menunjukkan pemilikan syarikat oleh wanita itu juga berlaku ketika suaminya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun Dr Abd Latiff dalam kenyataan balasnya menafikan bahawa individu bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa terlibat dalam skandal projek LCS merupakan isterinya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Asyraf Wajdi, bekas Ahli Parlimen Pandan itu sepatutnya mendedahkan semula kes-kes setiap orang yang melompat parti.

“Kenapa apabila melompat sahaja, semuanya disucikan daripada pertuduhan mahkamah, salah laku, penyelewengan dan lain-lain.

“Termasuklah kes-kes yang digugurkan pada zaman Pakatan Harapan (PH). Atau mungkin Rafizi tak berani dedah semula memandangkan dia sendiri mendapat manfaat tersebut ketika PH sedang berkuasa?” soalnya.

Beliau dalam masa sama turut mengulangi pendirian Pemuda UMNO sebelum ini bahawa pihaknya tetap bertegas sesiapa sahaja yang terlibat dalam apa jua bentuk penyelewengan, salah laku, rasuah atau ketirisan melibatkan wang rakyat dalam kes LCS mesti segera didakwa serta dibawa ke muka pengadilan.