Alunan bacaan Syeikh Osama bergema di Perak

Penganjuran program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah berjaya menarik kehadiran 500 peserta. Gambar kecil: Normah Hanum
Penganjuran program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah berjaya menarik kehadiran 500 peserta. Gambar kecil: Normah Hanum
A
A
A

IPOH - Alunan bacaan Surah Al-Sajdah oleh Guru Al-Quran di Masjidil Haram, Syeikh Osama Mohamad Iqbal memukau kira-kira 500 peserta Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Selasa.

Tokoh tersebut merupakan salah seorang qari jemputan bagi memperdengarkan bacaan Surah Al-Sajdah bersama-sama sembilan qari yang lain.

Tadabbur surah berkenaan disempurnakan oleh Pensyarah Bahasa Arab, Pusat Bahasa dan Pengajian Asasi Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Muhammad Saiful Ammar Ismail serta Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan.

Segmen Pesan Kemerdekaan pula dibacakan oleh Pengetua Institut Tadbiran Islam Perak, Firdaus Salleh sebelum diikuti Ikrar Quran yang diketuai Muazzin Masjid Sultan Azlan Shah, Muhamad Aiman Daniel Badrul Hisham.

Sementara itu, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim berkata, penganjuran program Malaysia #QuranHour di Perak mendapat kerjasama baik daripada pelbagai pihak.

Sebahagian 500 peserta yang hadir ke program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah pada Selasa.
Sebahagian 500 peserta yang hadir ke program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah pada Selasa.

Menurutnya, pemilihan Surah Al-Sajdah itu amat penting dalam menjadikan umat Islam di negara ini sentiasa bersujud kepada ALLAH SWT dan tidak sombong.

"Apapun jawatan yang kita pegang, kita adalah hamba ALLAH SWT dan kita mesti sentiasa mengingati bahawa kita semua sama sahaja, hanya amalan sahaja yang membezakan kita.

Artikel Berkaitan:

"Oleh sebab kesedaran itu, saya yakin Surah Al-Sajdah ini akan membina ummah yang baik di Malaysia ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas tamah program berkenaan.

Pada program berkenaan, sebanyak 500 naskhah al-Quran turut diberikan secara percuma kepada semua peserta yang hadir.

Turut hadir bagi mengimarahkan program tersebut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.