Dua pendayung dunia bakal warnai POPIC 2022

Hynard memburu gelaran sulung pada POPIC 2022 bakal berlangsung minggu depan. (Gambar kecil: Emir)
Hynard memburu gelaran sulung pada POPIC 2022 bakal berlangsung minggu depan. (Gambar kecil: Emir)
A
A
A

ACARA sukan kanu antarabangsa yang buat kali pertama diadakan di Pahang, Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) mulai 7 hingga 11 September ini bakal menjanjikan aksi perlumbaan kanu laut yang cukup hebat dengan penyertaan dua pendayung bertaraf dunia dari New Zealand dan Australia.

Wakil New Zealand, Danielle McKenzie yang menjuarai Kejohanan Dunia Kanu Laut di Perancis pada 2019, merupakan pendayung wanita yang telah menggegarkan arena perlumbaan kanu laut dunia, apabila berjaya meraih takhta kejuaraan dunia itu dalam perlumbaan pertamanya.

Bagi kategori lelaki antarabagsa, pendayung dari Australia, McKenzie Hynard sudah membayangkan kejuaraan dalam saingan POPIC 2022 bakal menjadi miliknya.

McKenzie Hynard yang merupakan bekas naib juara Dunia Bawah 23 pada 2017 dan tempat ke-8 kategori elit pada 2019 telah mengesahkan penyertaan dan menjanjikan aksi terbaik di Pahang nanti.

McKenzie menjuarai Kejohanan Dunia Kanu Laut di Perancis pada 2019.
McKenzie menjuarai Kejohanan Dunia Kanu Laut di Perancis pada 2019.

Selain beberapa pendayung lain dari Australia dan New Zealand, pihak penganjur juga mengesahkan penyertaan pendayung dari Afrika Selatan, Jepun, Singapura, Thailand dan negara tuan rumah Malaysia bagi kategori antarabangsa.

Pengesahan penyertaan ini dibuat oleh Emir Abdul Jalal, Ketua Pegawai Eksekutif Stagemaker Sdn Bhd, penganjur acara POPIC 2022

“Kehadiran bekas Juara Dunia 2019, Daniele McKenzie dan naib juara Dunia (B23) 2017 jelas bakal memberikan impak cukup besar kepada penganjuran POPIC 2022.

Artikel Berkaitan:

“Semoga dengan pengesahan penyertaan mereka bakal menarik minat lebih ramai lagi pendayung hebat dari luar negara selepas ini. Bagi acara yang baru diperkenalkan, ini merupakan permulaan yang cukup baik,” jelas Emir.

Bagi memastikan perlumbaan ini berjalan lancar, penganjur telah melantik bekas juara dunia 12 kali kanu laut antarabangsa, Oscar Chalupsky dari Afrika Selatan sebagai Pengarah Perlumbaan.

Oscar yang kini berpangkalan di Portugal, merupakan ikon perlumbaan kanu dunia, yang turut menjadi jurulatih kepada ramai pendayung-pendayung hebat di Eropah.

Oscar akan dibantu oleh jawatankuasa teknikal yang diurus sepenuhnya oleh Persatuan Sukan Kanu Pahang, diketuai sendiri oleh Presiden Persatuan, Mohd Nazir Mohd Sakari.

POPIC 2022 akan berlangsung di Pahang di Pantai Hiburan, Rompin (7 September), Pantai Lagenda, Pekan (8 September), Pantai Balok, Kuantan (9 September), Pantai Cherating, Kuantan (10 September) dan berakhir di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan (11 September).