Maritim tahan nelayan tangguk gamat

Nelayan Vietnam ditahan ketika Op Khas Naga Barat dan Op Damai di perairan Kelantan, pada Ahad.
Nelayan Vietnam ditahan ketika Op Khas Naga Barat dan Op Damai di perairan Kelantan, pada Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan pada Ahad menahan sebuah bot nelayan Vietnam di perairan Kelantan selepas hampir 45 minit mengejar bot yang dalam keadaan mencurigakan itu.

Ketika pemeriksaan, terdapat lima kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Vietnam berumur antara 34 hingga 61 tahun sedang menangguk gamat.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot peronda Maritim sedang melaksanakan Op Khas Naga Barat dan Op Damai pada jam 6 petang dan berjaya mengesan bot asing dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari diekori, nelayan asing itu cuba melarikan diri dengan memecut bot tetapi mereka akhirnya berhenti pada jarak 40 batu nautika dari muara Tok Bali dan 11.6 batu nautika dari sempadan Thailand," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Tambahnya, anggota Maritim turut menemui kira-kira 200 kilogram gamat di atas bot itu yang dipercayai ditangguk di perairan negara ini.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, kira-kira 200 kilogram gamat dan 2,000 liter diesel serta peralatan menangguk gamat dianggarkan berjumlah RM429,000," katanya,

Menurut Syed Nor Adli berkata, kesemua mereka dibawa ke Jeti

Artikel Berkaitan:

Maritim Negeri Kelantan pada jam 2.45 pagi dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 Seksyen 16 (3) akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, tekong boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) iaitu denda sehingga RM6 juta manakala kru sebanyak RM 600,000," katanya.

Selain itu katanya, kesemua kru akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.