Pusat Selam Skuba UMT terima pengiktirafan lima bintang

Pusat Selam Skuba UMT diiktiraf lima bintang oleh Scuba Diving International.
Pusat Selam Skuba UMT diiktiraf lima bintang oleh Scuba Diving International.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengiktirafan Pusat Selam Skuba Universiti Malaysia Terengganu (UMT) atau UMT Diving School sebagai pusat selam skuba bertaraf lima bintang oleh Scuba Diving International (SDI) mampu memberikan nilai tambah serta melonjakkan universiti itu di peringkat nasional dan global.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, pengiktirafan diterima pada 23 Ogos 2022 itu bertitik tolak daripada penganugerahan UMT sebagai entiti yang telah menghasilkan pelajar selaman skuba SDI paling ramai.

"Sebagai entiti selaman profesional, UMT Diving School akan mengorak langkah bagi memperkasakan beberapa bidang selaman skuba yang penting iaitu selaman berkonsepkan edu-tourism, arkeologi bawah air, latihan-latihan selaman berfokus, penyelam perubatan dan selaman saintifik.

"Perancangan jangka panjang kita adalah untuk mendapatkan pengiktirafan daripada agensi-agensi kerajaan dan badan antarabangsa sebagai pusat latihan terkemuka dalam bidang selaman skuba," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, kejayaan itu mampu menaik taraf fungsi UMT Diving School dalam memberi impak positif terutama mengetengahkan inisiatif pemuliharaan ekosistem bawah air.

Katanya, fungsi itu bersesuaian dengan pelantikan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah sebagai duta konservasi UMT.

"Kewujudan UMT Diving School juga telah membuka satu dimensi baharu bagi memperkasakan pelancongan pendidikan atau edu-tourism di negeri Terengganu melibatkan aktiviti selam skuba," katanya.

Dalam pada itu, katanya, UMT Diving School menyediakan perkhidmatan pelesenan selaman skuba bagi pelajar-pelajar UMT dengan kadar berpatutan.

Artikel Berkaitan:

"UMT Diving School turut berperanan memberikan latihan bagi agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berminat dalam aktiviti selaman skuba bagi memenuhi tuntutan kerjaya dan juga rekreasi.

"Antara kemudahan yang ditawarkan oleh UMT Diving School adalah sewaan peralatan selaman skuba, fotografi dan videografi bawah air serta perkhidmatan salvaj dan ekskavasi arkeologi bawah air," katanya.

UMT merupakan universiti awam pertama memperoleh ISO 9001:2015 (Kualiti Sistem Pengurusan) bagi pengurusan latihan berkaitan pelesenan skuba perkhidmatan pendidikan selain mendapat sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Wakil UMT Diving School iaitu Ketua Bahagian, Bahagian Selaman dan Lapangan UMT, Baharim Mustapa mewakili negara di bawah Jabatan Standard Malaysia bagi membangunkan ISO peringkat dunia berkaitan selaman skuba.