Amanah lapor polis terhadap Ahmad Zahid

Mohd Sany (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis pada sidang akhbar di hadapan IPD Dang Wangi pada Isnin.
Mohd Sany (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis pada sidang akhbar di hadapan IPD Dang Wangi pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) membuat laporan polis pada Isnin berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap semasa Taklimat Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, dalam ucapan itu, Ahmad Zahid didakwa menghina dan memfitnah institusi kehakiman negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Klip video dan teks ucapan Ahamd Zahid di majlis itu tular di media sosial," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu pada jam 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Isnin.

Mohd Sany berkata, pihaknya membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan terhadap Ahmad Zahid serta beberapa individu lain yang turut berucap dalam majlis sama selain menyiasat pihak yang memuat naik ucapan berkenaan dan pihak menganjurkan majlis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan polis bagi kedua-dua isu berkenaan.

"Kes akan dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman, kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel Berkaitan: